HomeUtamaPeranan komuniti dalam pengurusan Taman Kinabalu diiktiraf

Peranan komuniti dalam pengurusan Taman Kinabalu diiktiraf

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kundasang : Pelaksanaan Program Hari Komuniti yang mengiktiraf peranan penting komuniti tempatan dalam pengurusan Taman Kinabalu menjadi medium utama bagi mendekati masyarakat setempat sambil menggalakkan pemuliharaan dan pembangunan ekonomi. 

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) Peter Lintar berkata, hubungan dengan pemegang taruh terus diperkukuhkan melalui strategi seperti membangun rakan taman dan program pendidikan.

Katanya, ia selaras dengan teras kelapan Pelan Strategik Taman-Taman Sabah 2015–2025 TTS.

“Inisiatif seperti permit ekopelancongan telah membuka peluang kepada komuniti untuk terlibat dalam aktiviti pelancongan secara langsung, sementara pemberian permit mengusahakan tanah menyelesaikan konflik lama antara komuniti dan pengurusan taman. 

“Semua langkah ini bukan sahaja menyokong kestabilan sosial tetapi juga memastikan keberlangsungan ekonomi komuniti di sekitar Taman Kinabalu.

“Pencapaian ini menjadi bukti bahawa pendekatan amalan pengurusan terbaik yang melibatkan komuniti secara aktif mampu membawa kejayaan yang luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Hari Komuniti kelapan dan Ulangtahun Pengisytiharan kali ke-24 UNESCO Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS Abdul Razak Jamil.

Peter berkata, strategi itu telah memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dimana pengurusan taman mendapat sokongan masyarakat, sementara komuniti memperoleh manfaat ekonomi dan sosial daripada penglibatan mereka.

Dalam pada itu, Peter berkata, TTS dan pihak komuniti sebelum ini telah bersepakat dan bersetuju untuk menubuhkan Majlis Pemegang Adat Gunung Kinabalu COE.

Katanya, ia adalah bagi memastikan hubungan komuniti dengan TTS dapat terus dikukuhkan dan mapan serta teratur dengan baik.

“Lembaga Pemegang Amanah TTS  dalam satu mesyuarat pada tahun 2012 telah meluluskan penubuhan COE ini dan berfungsi sehingga hari ini. 

“COE ini seramai 10 orang daripada dua buah kampung, iaitu lima orang wakil yang dipilih oleh komuniti kampung Bundu Tuhan dan lima orang daripada Kampung Kiau. 

“Tujuan utamanya adalah untuk menangani isu-isu berkaitan adat istiadat dan memastikan sensitiviti budaya dihormati. COE ini berperanan sebagai penasihat kepada pengurusan taman dalam hal-hal adat, termasuk pelaksanaan upacara Monolob, yang memohon izin daripada penjaga spiritual Gunung Kinabalu untuk aktiviti pendakian,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH PARK

RELATED ARTICLES
Utama

Gesaan Ketua Pemuda Umno Sabah Tidak berasas, tiada keperluan Ketua Menteri...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular