Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah terus komited menyediakan pelbagai bantuan pendidikan untuk memastikan rakyat di negeri ini bukan saja dapat melanjutkan pelajaran dengan lebih sempurna malah mampu bersaing hingga ke peringkat lebih tinggi.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini kerana, pendidikan adalah asas yang sangat penting kepada generasi muda sebagai wadah utama menjadikan mereka pewaris negara yang berkualiti, berilmu dan berakhlak mulia.
“Atas sebab itu, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian bantuan kepada institusi pendidikan, pelajar termasuk memperkenalkan beberapa bantuan baharu bagi menyantuni anak-anak Sabah yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Antaranya, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dengan peruntukan berjumlah RM127 juta, yang menyasarkan tajaan seramai 3,850 pelajar baharu yang menuntut di universiti tempatan dan luar negara dan membiayai pelajar tajaan yang sedia ada, pada tahun depan.
“Jumlah ini telah meningkat berbanding RM113 juta yang diperuntukan kerajaan pada tahun ini. Selain itu, untuk tahun 2025, Program Biasiswa, Dermasiswa dan Pinjaman Pengajian Yayasan Sabah memperuntukkan sejumlah RM57 juta untuk 4,500 orang pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Negeri Sabah di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui jabatan dan agensinya mengambil inisiatif dengan menyediakan pelbagai bantuan pendidikan dan sumbangan seperti tajaan biasiswa, dermasiswa, pinjaman pengajian, dan bantuan zakat bagi meringankan beban yang ditanggung ibu bapa.
“Pada hari ini, tawaran tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah turut diberikan kepada seramai 100 pelajar bagi mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di Universiti Malaysia Sabah Kampus Kota Kinabalu.
“Kerajaan turut menyalurkan bantuan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), dengan seramai 100 pelajar turut serta menerima bantuan ini. Setakat ini, saya dimaklumkan TPNS telah menyalurkan sejumlah RM8.5 juta dan memberi manfaat kepada seramai 8,000 pelajar.
“Kita juga akan menyampaikan bantuan BISBAH atau Bantuan Ihsan Sekolah Sabah bagi tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM10 juta yang melibatkan semua sekolah di Sabah. Selain itu, turut disampaikan sebahagian Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU),” katanya.
Sementara itu Hajiji berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM79.5 juta untuk bantuan-bantuan pendidikan secara one off termasuk bantuan agama dan bahasa sastera, untuk tahun 2025.
“Ini membabitkan bantuan pendidikan yang baharu dan sedia ada yang diteruskan lagi pada tahun depan, antaranya BUDI (Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off); BAKTI (Bantuan Khas Tunai Peperiksaan); BISTARI (Bantuan Insan Tabungan Pendidikan Negeri) dan AKSA (Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah).
“Selain itu, BAGUS (Bantuan Aktiviti PIBG); BALKIS (Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah) dan SEMESTA (Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia). Satu lagi inisiatif baharu diperkenalkan iaitu Sumbangan Kegiatan Sekolah (SUKSES) dengan kadar RM3,000 kepada 1,500 buah sekolah,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Majlis Ugama Islam Sabah menerusi dana zakat turut menggerakkan pelbagai inisiatif pendidikan ke arah memperkasa dan meningkatkan kualiti pendidikan khususnya di negeri ini.
“MUIS telah membelanjakan sejumlah RM32.5 juta pada tahun 2023 bagi menyantuni golongan asnaf dalam kalangan anak-anak sekolah, guru-guru dan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta menerusi Inisiatif Pendidikan MUIS.
“Setakat bulan November pada tahun ini, terdapat peningkatan berjumlah RM4.9 juta daripada tahun sebelumnya dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM37.4 juta. Oleh itu, menerusi peruntukan Bajet MUIS 2025 sejumlah RM47.3 juta khusus untuk bidang pendidikan, diperuntukkan pada tahun depan,” katanya. – SABAH MEDIA