Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas meminta pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan drastik ke atas dua pemilik akaun TikTok yang menyebarkan tuduhan fitnah mengaitkan beliau dan dua lagi rakan wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan rasuah dan pecah amanah melibatkan isu tanah.
Ruddy yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata beliau terkejut apabila melihat video tular di TikTok yang cuba mengaitkan mereka bertiga dengan isu tersebut.
“Beberapa hari lalu, satu tuduhan fitnah telah dimuat naik di TikTok, mengaitkan saya dan dua lagi rakan wakil rakyat dengan rasuah dan pecah amanah melibatkan isu tanah.
“Untuk makluman semua, saya tidak pernah berhubung dengan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib (ADUN Sugut), mahupun berbincang walau sepatah perkataan mengenai isu tanah.
“Begitu juga dengan individu bernama Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin (ADUN Nabawan), saya tidak pernah berjumpa atau berbincang dengannya berkenaan hal ini.
“Saya terkejut apabila melihat video tular di TikTok yang cuba mengaitkan kami bertiga dengan isu tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebagai tindak balas, Ruddy berkata satu laporan polis telah dibuat pada 3 Disember 2024 di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kepayan oleh Pembantu Pembangunan Masyarakat (PPM) N3 Pitas, Ramlah Nasir, bersama Ketua Daerah Pitas, OKK Halim Kadir dan Pemaju Mukim N3 Pitas, George Sibul.
“Kami meminta pihak polis menyiasat dua akaun TikTok yang telah memuat naik tuduhan terhadap kami.
“Saya juga merayu agar pihak polis dapat mengenal pasti pemilik akaun tersebut dan membawa mereka ke muka pengadilan. Tuduhan seperti ini tidak sepatutnya berlaku kepada kami, lebih-lebih lagi tanpa sebarang bukti sahih,” tegasnya.
Beliau juga yakin penyebaran dakwaan itu adalah bertujuan untuk menjatuhkan maruah kerajaan.
“Saya percaya ini adalah mainan politik yang bertujuan untuk menjatuhkan maruah kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah. Mereka tidak mempunyai cara lain selain mencipta isu-isu yang tidak berasas untuk mencemarkan nama baik kami.
“Namun, sebagai wakil rakyat, saya bersedia menghadapi apa jua ancaman dan tuduhan. Saya telah membuat laporan polis dan menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Untuk makluman, saya sendiri hadir ke pejabat SPRM dua hari lalu untuk menjelaskan perkara ini dan menyerahkan semua dokumen serta gambar berkaitan,” jelasnya.
Tambah Ruddy lagi, pihak tertentu sengaja menggunakan isu ini kepada pemimpin yang berpotensi mempertahankan kerusi masing-masing.
“Saya tahu pihak tertentu sengaja menggunakan isu ini untuk mengaitkan nama pemimpin yang berpotensi mempertahankan kerusi masing-masing.
“Namun, saya mencabar mereka khususnya di kawasan N3 Pitas untuk datang dan buatlah fitnah sebanyak mungkin. Saya tidak takut kerana saya tahu rakyat saya bersama saya.
“Kepada rakyat Pitas, saya tegaskan sekali lagi, jika ada tanah kamu yang saya rampas, tipu, atau jual, datanglah berjumpa dengan saya dan buktikan tuduhan tersebut. Saya sedia bertanggungjawab, tetapi saya yakin tuduhan ini tidak benar,” tegas beliau lagi.
Ruddy menyeru kepada pembangkang di luar sana agar tidak menggunakan media sosial untuk memburuk-burukkan pihak lain.
“Jika mahu bersaing, perkuatkanlah jentera masing-masing di kawasan yang anda tandingi. Ayuh, kita berjumpa secara telus dan beretika,” tegasnya.