Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Inisiatif Kerajaan Sabah dalam menyediakan pelbagai bantuan pendidikan kepada anak-anak di negeri ini khususnya yang kurang berkemampuan memberi peluang untuk mereka mencipta kejayaan dalam bidang pendidikan.
Ia termasuklah bantuan menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang diilhamkan dan dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada Jun 2022 bertujuan membangunkan agenda pendidikan di negeri ini.
Selain TPNS, bantuan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) serta beberapa inisiatif pendidikan lain turut disediakan Kerajaan negeri meliputi pelbagai peringkat dari sekolah rendah ke peringkat lebih tinggi.
Bagi pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Olivia Raziah Mansiang berkata, bantuan yang diberikan Kerajaan Sabah itu berupaya membantu meringankan bebanan kewangan mereka.
“Perasaan kami sebagai seorang pelajar sangat bersyukur dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yant sangat prihatin kepada kami sebagai pelajar yang mempunyai masalah kewangan yang tidak stabil.
“Dari bantuan pendidikan ini, ianya sangat meringankan beban kami sebagai seorang pelajar dan membuat kami lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk mencapai kami punya cita-cita masa akan datang,” katanya.
Anak kedua dari lima beradik itu ditemui Sabah Media pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Negeri Sabah di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu, di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Olivia yang kini berada dalam semester dua mengakui belum mendapat sebarang pinjaman pendidikan dan hanya menerima bantuan TPNS pada ketika ini.
Seorang lagi penerima Muhammad Imran Yusuf yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Akuakultur) Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut mengakui gembira kerana turut diraikan bagi menerima bantuan berkenaan meskipun berasal dari negeri Kedah.
“Perasaan saya gembira kerana turut diraikan dalam bantuan ini. Bagi saya, bantuan asalkan atas nama pendidikan, dia tidak sepatutnya mengira latar belakang pemohon daripada negeri mana.
“Asalkan kami menepati kriteria yang dinyatakan ketika sesi permohonan, saya rasa sepatutnya dilayan dan diterima,” katanya.
Imran berkata, bantuan TPNS itu akan digunakan sebagai perbelanjaan untuk tujuan latihan industri selama tiga hingga empat bulan di Jepun.
“Bantuan ini akan membantu kami dari segi kami punya perbelanjaan ketika berangkat ke Jepun nanti. Sebab kami punya perbelanjaan akan merangkumi beberapa benda antaranya wang kecemasan, wang poket, pasport, perbelanjaan ketika di Jepun nanti.
“Jadi bantuan daripada TPNS ini dia sedikit sebanyak akan membantu kami jugalah. Kami akan menjalani latihan industri dekat Jepun, dengan beberapa entiti terpilih di negara Jepun kira-kira dalam tempoh tiga hingga empat bulan,” katanya.
Semalam, seramai lebih 200 penerima menerima bantuan pendidikan antaranta BKNS seramai 106 orang; TPNS (100 orang); bantuan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) seramai 40 orang; penerima BISBAH iaitu melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah; BANTU (5) dan BAIK (5). – SABAH MEDIA