HomeUtamaTuduhan jahat, tidak ada asas, cetek akal, dangkal - Redonah

Tuduhan jahat, tidak ada asas, cetek akal, dangkal – Redonah

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Kenyataan media Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Sabah yang menggesa untuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor meletakkan jawatan adalah sesuatu yang bersifat jahat, jelas bertujuan untuk menjejaskan imej beliau dan langsung tidak berasas, kata Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Redonah Bahanda.

Redonah berkata video-video yang tular yang mengaitkan beberapa pemimpin dalam Gagasan Rakyat itu belum ditentukan kesahihan dan bersifat fitnah selagi pihak berkuasa belum menentukannya.

“Tidak ada mana-mana pihak yang mempunyai kuasa untuk menghukum atau menghakimi selagi sebarang keputusan salah laku belum dinyatakan oleh pihak berkuasa dengan sewajarnya. Hentikan segala tuduhan dan hasutan jahat anda,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Redonah, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Sabah cuba mengalihkan perhatian tentang kes mahkamah yang sedang berjalan yang mengaitkan pimpinan utama UMNO Negeri Sabah yang kesnya sedang berjalan di mahkamah dan diminta untuk membela diri.

Katanya, tindakan individu-individu ini sudah jelas, terang lagi bersuluh, ada niat lain sebenarnya dan cuba untuk ‘menghalalkan’ usaha hasutan rakyat.

Tambah beliau lagi, selain itu, tindakan itu juga seolah-olah mereka ingin mengikuti jejak pimpinan UMNO Negeri Sabah untuk mengadakan Langkah Kinabalu II atau terdesak untuk diadakan pilihanraya segera dan sangat terdesak.

“Sabar, tidak perlu gelojoh dan terlalu kemaruk untuk memegang tampuk pemerintahan negeri Sabah. Sampai masa kelak, PRN pasti akan berlangsung juga. Fokus kita sekarang adalah bantu rakyat Sabah, bukan jadi batu api.

“Lihat sendiri, sejak Ketua Menteri menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri, terbukti beliau berjaya kerana pelbagai usaha berterusan dalam membawa hala tuju dan perancangan untuk Sabah menjadi realiti. Rakyat hari ini menikmati manfaatnya,” katanya..

Jelas Redonah, Ketua Menteri Sabah telah memberi jaminan bahawa di bawah pentadbiran beliau akan berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan dan kejujuran.

“Ini telah terbukti apabila beberapa pemimpin yang difitnah itu telah datang ke pejabat SPRM sendiri secara rela tanpa dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Mereka tidak pernah lari dan memberi kerjasama kepada agensi terlibat seperti SPRM. Ini membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin Gagasan Rakyat bertindak secara benar dan telus dan menafikan sekeras-kerasnya fitnah jahat yang dilemparkan terhadap mereka,” tegas Redonah.

RELATED ARTICLES
Utama

IDS fokus basmi kemiskinan pada 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular