Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Tiada ungkapan mampu dilafazkan sepasang suami isteri tatkala menerima Anugerah Anumerta buat Allahyarhamah anak mereka pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-26 di Dewan Canselor UMS di sini pagi tadi.
Nornazirah Ahmad Kamarudin,36, meninggal dunia selepas disahkan menghidap kanser ovari tahap empat pada April lalu seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri.
Ahmad Kamarudin,65, yang hadir menerima penganugerahan itu bersama isterinya, Tursinah Abdul Rahman,64, merakamkan penghargaan kepada UMS atas bimbingan kepada anaknya meskipun tidak sempat menghabiskan pengajian.
Beliau berkata, anaknya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah selepas selesai mengikuti peringkat Ijazah Sarjana beberapa tahun lalu dam dianugerahkan Ijazah Doktor Kesihatan Awam dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (secara anumerta).
“Walaupun tidak kepenghujung, tapi alhamdulillah atas usaha inisiatif dia, dia dapat juga menyudahkan walaupun. sepenuhnya.
“Saya ucapkan tahniah kepada UMS kerana menganugerahkan juga kelulusan kepada dia hari ini,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini hari ini.
Penganugerahan itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada sesi pertama di sini.
Sementara itu, ibu Allahyarhamah ketika menceritakan perwatakan anaknya, Tursinah berkata, anaknya merupakan seorang anak yang solehah dan kuat semangat.
“Dia memang kalau boleh mahu habiskan pengajiannya dan dia seorang anak yang tidak mahu menyusahkan semua orang. Memang dia ada wawasan yang tinggi.
“Cuma makcik sedihlah tidak sangka dia pergi seawal yang mungkin. Dalam waktu dia sakit pun dia masih buka laptop untuk siapkan tesis dia,”‘ katanya.
Tursinah yang juga pesara kerajaan turut berkata, anaknya pernah menyimpan hasrat untuk mendapatkan anak selepas empat tahun perkahwinan bersama seorang doktor perubatan.
“Dia sebagai isteri semestinya mahu mendapatkan ‘baby’ (anak). Dalam waktu sama dia ada berjumpa doktor untuk tujuan ini tapi tidak sempat.
“Dia bertemu jodoh dengan pasangannya ketika mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana. Dalam tempoh itu mereka berusaha untuk dapatkan anak, itu antara keinginannya,” katanya.
Anaknya yang sebelum ini pernah bertugas di Klinik Kesihatan Penampang juga pernah meluahkan kepada Tursinah untuk terus cemerlang dalam kerjayanya
“Dia mahu jadi anak yang solehah, isteri solehah. Dia suka mudahkan urusan orang. Saya masih ingat masa dia sambung Ijazah Sarjana,dia kerja di Klinik Kesihatan Penampang, setiap hari Jumaat dia mesti masak bagi makan untuk kakitangan dia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, tesis pengajian anaknya turut berkait rapat mengenai kanser.
Sementara itu, Tursinah turut mengucapkan terima kasih kepada UMS dan semua pihak yang telah membantu sepanjang pengajian anaknya.
“Sebagai ibu, kami mohon maaf pada semua jika dia ada buat silap, mohon dimaafkan agar rohnya tenang disana.
“Seandainya arwah anak ada berhutang dengan rakan-rakan atau pihak universiti, tolong maklum pada kami. InsyaAllah kami akan uruskan,”‘ katanya. – SABAH MEDIA