Kota Kinabalu: Hotel Jesselton yang ditubuhkan pada 1954 telah menjadi satu identiti dan mercu tanda ikonik di negeri ini selain menjadi komponen penting dalam landskap pelancongan di Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew berkata, ia adalah hotel pertama di negeri ini selepas perang dunia kedua dan menjadi lambang ketabahan, daya tahan serta cita-cita rakyat Sabah.
“Hotel ini sudah menjadi tempat yang paling istimewa di hati ramai orang dan sejak tujuh dekad dibuka ia telah menerima ramai pelancong dari dalam dan luar negara termasuklah orang kenamaan.
“Ia juga menjadi saksi kepada pelbagai detik bersejarah dan bukan sahaja sebuah destinasi tetapi sebahagian daripada kisah yang membentuk komuniti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan ulang tahun ke-70 Hotel Jesselton, di sini semalam.
Christina berkata, penambahbaikan yang dilakukan baru-baru ini telah memberi nafas baharu kepada Hotel Jesselton bagi memastikan ia terus menjadi komponen penting dalam landskap pelancongan Sabah.
Katanya, usaha ini membuktikan komitmen hotel ini terhadap kecemerlangan dengan menggabungkan tradisi dan modeniti sambil mengekalkan daya tarikan abadi yang menjadikannya begitu istimewa.
“Saya menzahirkan tahniah kepada pasukan pengurusan, kakitangan, dan semua pihak yang terlibat dalam usaha mengekalkan dan meningkatkan Hotel Jesselton sehingga ke hari ini.
“Dedikasi anda memastikan bahawa hotel ini terus menjadi contoh unggul hospitaliti dan warisan, menginspirasi kita semua untuk menghargai serta melindungi keunikan Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA