HomeUtamaCabaran dihadapi bukan halangan dua beradik genggam Ijazah

Cabaran dihadapi bukan halangan dua beradik genggam Ijazah

Read Time:1 Minute, 27 Second

Kota Kinabalu :  Cabaran dalam pembelajaran bukan halangan untuk dua beradik berkongsi pentas sama bagi menerima segulung Ijazah pada majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-26, yang berlangsung di sini semalam.

Siti Nasyitah Jaman, 27, graduan Ijazah Sarjana Sains dari Fakulti Sains dan Sumber Alam dan adiknya, Siti Nafi’ah Jaman, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dari  Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan masing-masing menerima penganugerahan pada sidang pertama dan kedua di Dewan Canselor.

Siti Nasyitah mengakui tidak menyangka cabaran yang dihadapi sepanjang pengajian membolehkan mereka dapat berkongsi pentas kejayaan.

“Alhamdullilah, tidak disangka yang kami dapat konvo bersama walaupun berbeza pengajian kerana saya sarjana dan dia sarjana muda.

“Ketika saya mengambil ijazah pertama, saya mempunyai masalah peribadi sehinggalah ketika melanjutkan pengajian dalam sarjana pada zaman COVID-19. Waktu itu, saya belajar sambil bekerja.

“Syukurla saya dibantu oleh penyelia akademik saya, Dr. Rozaimi Zakaria yang memberi cadangan untuk saya melakukan pengajian sepenuh masa sarjana walaupun secara dalam talian sahaja. Jadi, cabaran paling besar ketika belajar ialah pengurusan masa saya,” katanya.

Sementara itu, adiknya Nafi’ah berkata, pemilihan rakan sekelas khususnya dalam membuat tugasan dilihat mencabar khususnya dengan ragam yang pelbagai.

“Cabaran yang saya hadapi ialah mencari rakan-rakan sekelas terutama ketika membuat tugasan secara berkumpulan kerana jumlahnya ramai dan orangnya pelbagai jenis ragam. Jadi kita kena pilih kawan yang sesuai dengan kita.

“Saya juga membuat perancangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah pada masa akan datang. Namun, kos yang tinggi menyebabkan hala tuju lebih ke arah untuk mencari kerja dan menambah pengalaman,” katanya.

Anak ketujuh dari sembilan beradik itu berkata, dia akan lebih fokuskan kepada kemahiran kerana sijil-sijil kemahiran lebih penting dan banyak digunakan terutamanya berkaitan dalam bidang yang dipelajarinya iaitu teknologi. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular