Kota Kinabalu : Bekas peguam syariah, Datin Saidatul Badru Mohd Said Keruak, 74, menjadi tumpuan apabila menjadi graduan tertua menggenggam Ijazah Doktor Falsafah sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah ke-26.
Ibu kepada tiga anak dan tiga cucu itu berkata, usia bukanlah penghalang kepada sesuatu kejayaan asalkan ia diiringi dengan semangat dan keinginan yang tinggi.
“Saya inginkan kejayaan saya ini menjadi penyuntik semangat kepada warga belia di luar sana yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang yang lebih tinggi.
“Jangan terlalu fokus kepada umur, apa yang penting adalah kemahuan dan semangat kerana proses dan perjalanan menuntut ilmu ini bukan mudah,” katanya.
Tambahnya, dia juga pernah ditawarkan pengajian oleh Universiti Islam Antarabangsa, namun lebih memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah di UMS kerana ingin kembali semula ke tempat asal.
“Saya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana di Universiti Malaya. Pada peringkat Sarjana Muda, ketika itu saya sudah pun mempunyai cucu dan berusia 40 tahun. Kemudian, saya menyambung semula pengajian ke peringkat Sarjana pada usia 55 tahun.
”Saya mengambil peluang melanjutkan pelajaran sewaktu anak-anak saya sudah tamat pengajian dan mempunyai kerjaya dalam bidang masing-masing.
“Dalam masa yang sama, saya juga bermula sebagai setiausaha pada tahun 1970 di Pejabat Ketua Menteri Sabah di bawah pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun,” katanya.
Beliau yang berasal dari Kota Belud Sabah itu mengungkapkan rasa terima kasih kepada suami, anak-anak serta cucu kerana telah menjadi semangat dan pendorong terbesar sepanjang tempoh pengajian.
Graduan warga emas berkenaan menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Majlis Konvokesyen UMS ke-26.
Seramai 359 graduan telah menerima ijazah masing-masing yang terdiri daripada doktor falsafah, doktor perubatan dan sarjana penyelidikan di Dewan Canselor, UMS. – SABAH MEDIA