Kota Kinabalu : Serangan segelintir pemimpin parti politik terhadap pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat sebagai usaha terdesak pihak lawan yang mahukan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dipercepatkan.
Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, tempoh pentadbiran Kerajaan Sabah kini belum habis dan belum selesai.
“Tapi ada pihak tertentu mahu PRN cepat, mahu ganti kerajaan cepat dan sebab itu mereka sudah mula menyerang kita, pecah-belah kita dengan taktik lama, bukan kita tidak tahu.
“Kita faham permainan mereka, pertama dia cari cara pecah-belah kita, cari kesalahan kita dan cuba pancing kita seperti video yang ditularkan baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Pemuda GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun; presiden parti komponen GRS dan Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonnybone J Kurum.
Sebelum ini Ahli Majlis Tertinggi GRS, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka hanya dibubarkan apabila hampir ke penghujung penggal, kemungkinan pada Ogos depan.
Tempoh kerajaan Sabah sekarang berakhir pada Oktober tahun depan.
Sementara itu, Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata GRS akan memberi peluang sewajarnya kepada golongan muda untuk menjadi calon pada PRN17 nanti.
“Kita akan berikan peluang untuk mereka (pemuda) di kawasan yang mereka sudah bersedia dan mempunyai peluang untuk menang,” katanya. – SABAH MEDIA