Kota Kinabalu : Lima buah kenderaan telah ditunda dalam satu operasi tunda (Ops Tunda) khas yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sekitar bandar raya di sini Sabtu lalu.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi yang dijalankan melalui Jabatan Penguatkuasaan itu turut mengeluarkan kompaun kepada pemilik kenderaan yang dikenal pasti ingkar dan melakukan kesalahan yang ditetapkan.
“Kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan yang dikenal pasti ingkar dan melakukan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (Peruntukan Tempat-tempat Letak Kereta Awam) (Letak Kereta Berkupon, Bandaraya Kota Kinabalu, 2014).
“Operasi itu berlangsung bermula jam 5 petang hingga 8.30 malam dan telah dilaksanakan oleh 10 orang anggota bertugas dengan melibatkan pengunaan empat buah trak tunda,” menurut kenyataan itu.
Menurut DBKK, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dan patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
“Selain itu orang ramai perlu mengelak daripada meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dikhaskan, sehingga boleh menyebabkan gangguan kepada aliran lalu lintas,” tambah kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA