HomeEkonomiProjek Mobiliti Mampan & Tenaga Boleh Baharu dilancar di Sabah

Projek Mobiliti Mampan & Tenaga Boleh Baharu dilancar di Sabah

Read Time:2 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Sustainable Future (SF), bersama rakan strategik Borneo Sabah Energy (BSE) dan Koperasi Permodalan FELDA (KPF) sebagai syarikat bersekutu melancarkan Projek “Sustainable Mobility (Electric Vehicle) & Renewable Energy Solution” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Majlis ini mencerminkan usaha bersama ketiga-tiga organisasi untuk memperkukuh agenda tenaga hijau di Sabah, sekaligus menjadi langkah penting dalam merealisasikan aspirasi negeri ini ke arah pembangunan mampan.

Pengerusi SF, Datuk Mohd Banuri Aris berkata sebagai peneraju dalam teknologi mampan, SF terus komited untuk memperkenalkan penyelesaian inovatif yang bukan sahaja mesra alam tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Dengan mengintegrasikan penggunaan Kenderaan Elektrik (EV) dan tenaga boleh baharu, SF percaya teknologi ini adalah kunci utama dalam menangani cabaran perubahan iklim serta mengubah landskap pengangkutan di Sabah.

“Kolaborasi strategik yang mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Sabah ini dijangka membawa manfaat besar kepada negeri ini, termasuk mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kualiti udara, dan mengurangkan pencemaran bunyi.

“Penggunaan EV yang lebih meluas bukan sahaja menjimatkan kos bagi pengguna tetapi juga meletakkan Sabah sebagai pelopor inovasi hijau di Malaysia sekaligus berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan,”katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran tersebut.

Beliau berkata KPF merupakan rakan bersekutu juga memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan projek ini memberikan impak positif kepada komuniti dan ekonomi tempatan.

“Ini sejajar dengan visi SF dan BSE untuk membawa perubahan mampan melalui teknologi hijau, sambil memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi.

“SF percaya bahawa pelancaran ini adalah langkah awal ke arah transformasi yang lebih besar, bukan sahaja untuk rakyat negeri Sabah tetapi juga untuk seluruh pelusuk Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif BSE, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan berkata BSE beriltizam untuk bersama- sama dalam melestarikan persekitaran hijau dan melibatkan diri dalam perniagaan yang berlandaskan ekonomi hijau mampan kerana kerajaan negeri juga telah menekankan Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau di bawah pelan halatuju Sabah Maju jaya (SMJ).

“Komitmen BSE adalah jelas dan telus dalam perkara ini dimana BSE sedang berkerjasama dengan syarikat SF untuk perniagaan Mobiliti Hijau dengan membawa masuk EV seperti lori pengangkut, bas, pacuan empat roda, skuter dan motosikal ke negeri Sabah.

“Sasaran pasaran utama BSE adalah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri Sabah.

“BSE juga akan memastikan keberadaan Stesen Pengecas (Charging Station) agar memudahkan penggunaan kenderaan elektrik secara selesa,” katanya.

Dalam pada itu, turut diadakan Majlis Menandatangani Perjanjian antara BSE dengan SF disaksikan oleh Tun Juhar.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular