HomeUtamaDoa, usaha pendorong utama kejayaan Asmaa

Doa, usaha pendorong utama kejayaan Asmaa

Read Time:1 Minute, 34 Second

Kota Kinabalu : Penerima Hadiah Tun Zaki Tun Azmi (Antarabangsa) Asmaa Chekima,23, menjadikan doa dan usaha sebagai pendorong utama dalam perjalanan akademiknya.

Pemegang kerakyatan Algeria itu merupakan  graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian (Perniagaan Antarabangsa) yang bergraduat pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-26 di Dewan Canselor UMS di sini.

Asmaa turut mengakui terkejut kepada penganugerahan hadiah itu dan sentiasa berusaha keras  kerana ada impian ingin ditunaikan.

“Yang pertama adalah sentiasa berdoa tanpa henti dan jangan putus asa dalam segala hal, kerana tiada perkara yang dianggap mustahil sekiranya ada impian, yang penting terus berdoa dan berserah kepada Allah.

“Kedua adalah saya perlu sentiasa berusaha dan bekerja keras, jangan jadi pemalas, dan jangan berhenti separuh jalan dalam mencapai impian yang diinginkan.  Saya pernah merasa seperti tidak akan berjaya dalam enam semester ini, namun Allah sentiasa memberi peluang berulang kali, dan Alhamdulillah, saya dapat melalui semuanya,” katanya.

Asmaa turut berkongsi bahawa dalam proses pembelajaran, keseimbangan antara kerja dan kehidupan adalah penting.

“Kita mesti pandai membahagikan dan menguruskan masa dengan bijak, sentiasa rancang jadual belajar dan aktiviti rutin lebih awal.

“Apa yang penting adalah jangan pernah abaikan solat, jaga solat dan sentiasa berdoa kerana dengan melakukan perkara tersebut, ia dapat membantu kita merasakan masa sentiasa mencukupi,” katanya.

Asmaa juga menjadikan ayahnya seorang profesor yang merupakan ahli akademik terawal di UMS sebagai sumber inspirasi utama dalam memperoleh cita-citanya.

“Saya juga membuat perancangan tentang hala tuju dan cita-cita saya dalam megikuti jejak langkah ayah saya iaitu menjadi profesor satu hari nanti, namun bagi saya, kerana saya masih muda, saya rasa ingin menceburi bidang korporat dan bekerja di syarikat terlebih dahulu.

“Kemudian, dalam beberapa tahun akan datang, saya merancang untuk menyambung pelajaran dan mengikuti jejak langkah ayah saya secara berperingkat dengan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan PhD.

“Akhirnya, saya bercita-cita untuk menyambung legasi ayah saya sebagai seorang profesor,”katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular