HomeUtamaKebimbangan bapa tidak halang graduan OKU raih Ijazah Kelas Pertama

Kebimbangan bapa tidak halang graduan OKU raih Ijazah Kelas Pertama

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu : Kebimbangan seorang bapa  ‘melepaskan’ anaknya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akhirnya membuahkan hasil apabila anaknya berjaya meraih Ijazah Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen ke-26 Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ching Kok Hin mengakui amat sukar untuk melepaskan anaknya Jessica Ching Ai Lyn, 24, yang dikategorikan OKU Pembelajaran (Asperger’s Syndrome) bersendirian sepanjang pengajian di UMS.

Ini kerana beliau bimbang anaknya tidak mampu untuk beradaptasi dengan baik.

“Bukan mudah bagi kami melepaskannya sendirian untuk menyambung pengajian, namun sebagai ibu bapa kami juga perlu membiarkannya untuk melihat sejauh mana dia boleh melangkah atas usaha sendiri.

“Kami juga melihat sokongan dan bantuan daripada para pensyarah terutamanya Dr Zaiton dari Pusat Pengurusan Orang Kurang Upaya UMS yang sentiasa membantu dalam pengurusan keperluan sepanjang berada di UMS.

“Fasiliti bagi pelajar kurang upaya yang terdapat di UMS juga sangat baik dan kemudahan ini dapat memberi keselesaan sepanjang proses pembelajaran,” katanya.

Kok Hin hadir bersama isterinya Chua May Ling bagi melihat kejayaan yang diraih anaknya yang juga Graduan dari Fakulti Perhutanan Tropika (FPT).

Jessica menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Biologi Pemuliharaan) dengan memperoleh keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.84.

Menurutnya, ibu bapa merupakan sumber kejayaan dan susuk yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti sepanjang bergelar sebagai seorang pelajar prasiswazah.

Sementara itu, ibunya May Ling berkata, cabaran terbesar bagi anaknya adalah ketika ingin melakukan pembentangan di hadapan pensyarah dan rakan-rakan.

“Cabaran utama bagi anak saya adalah apabila dia perlu membuat pembentangan dan menyampaikan idea secara lisan di hadapan pensyarah dan rakan.

“Dia menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dan bersosial dengan baik, apatah lagi bercakap di hadapan ramai orang,” katanya.

Graduan yang berasal dari Petaling Jaya itu menerima skrol ijazah yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim bertempat di Dewan Canselor UMS. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular