KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan memberikan peruntukan besar kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) membuktikan komitmen bahawa golongan yang meminati bidang ini tidak akan dipinggirkan.
Belanjawan 2025 mencatatkan peruntukan sebanyak RM7.5 bilion untuk TVET, meningkat daripada RM6.8 bilion pada tahun sebelumnya.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmadshah, Kota Kinabalu, Ustazah Rosnani Sidin, menyifatkan usaha kerajaan menaik taraf TVET sebagai langkah penting untuk menjadikannya setaraf dengan bidang kritikal lain.
“Inisiatif ini sangat baik dan bermanfaat untuk menghadapi cabaran ledakan industri masa depan. Saya yakin pemerkasaan TVET di Sabah dapat dilaksanakan dengan baik dan boleh dicapai dengan adanya inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.
“Mata pelajaran TVET telah ditawarkan di semua sekolah, bermula dari peringkat menengah rendah seperti mata pelajaran Reka Bentuk Dan Teknologi (RBT). Ia wajar diteruskan sehingga ke peringkat menengah atas,” katanya.
Kekangan Tenaga Pengajar
Walaupun terdapat kekangan, termasuk kekurangan tenaga pengajar, Rosnani yakin isu ini dapat diatasi dengan peruntukan kewangan yang mencukupi.
“Sejak kebelakangan ini, kerjasama antara kerajaan dan pihak sekolah semakin giat dilaksanakan, termasuk bantuan kewangan untuk program TVET seperti pertandingan mikrobotik dan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL STEM). Ini menunjukkan TVET mendapat sambutan yang baik di Sabah,” tambahnya.
Beliau turut mencadangkan agar sumbangan kewangan pendidikan diberikan kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET, di samping memberi peluang kepada golongan yang kurang cemerlang akademik untuk memanfaatkan kemahiran mereka.
“Langkah ini boleh membuka ruang kepada mereka untuk menjana ekonomi melalui perniagaan sendiri,” ujar Rosnani.
Menurutnya, usaha memperluaskan peluang kerjaya dalam bidang TVET dengan tawaran gaji menarik akan menggalakkan lebih ramai rakyat Sabah bekerja dan menyumbang kepada pembangunan negeri mereka sendiri.
Sokongan terhadap Belia
Sementara itu, Naib Presiden 1 Dewan Muda Selangor, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Iskandar Danial Adam Adonis, menyifatkan usaha kerajaan untuk memperkasakan TVET sebagai suntikan semangat kepada generasi muda.
“Banyak elemen positif menyentuh golongan belia apabila belanjawan kali ini bersasar terus kepada rakyat, termasuk di kawasan pedalaman. Program Kampung Angkat Madani juga menghubungkan institusi TVET dengan anak-anak kampung, melatih bakat baharu dalam pelbagai kemahiran,” katanya.
Beliau menambah bahawa pendedahan awal dan latihan berterusan dalam TVET membolehkan golongan muda menceburi pekerjaan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri dan pelaburan baharu.
“Mereka tidak hanya bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin, tetapi boleh menjadi usahawan yang mengusahakan perniagaan sendiri, atau mencari pendapatan tambahan dengan kemahiran pemasaran digital di platform seperti TikTok, Facebook, dan YouTube,”
Peranan GLC dalam Latihan TVET
Iskandar turut memuji kerjasama antara kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional Berhad dan Sime Darby Plantation yang memacu latihan kemahiran baharu untuk sektor masing-masing.
“Latihan praktikal melalui program seperti ini memberi impak besar kerana ia menawarkan pengalaman berharga berbanding teori semata-mata,” ujarnya.
Menurutnya, langkah membenarkan majikan menggunakan sehingga 50% dana HRD Corp untuk membiayai latihan kemahiran adalah satu lagi inisiatif positif yang akan meningkatkan daya saing pekerja di negara ini.
“Belanjawan ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran industri masa depan,” katanya.