HomeUtamaKerajaan tingkat bantuan badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh dan persendirian

Kerajaan tingkat bantuan badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh dan persendirian

Read Time:2 Minute, 1 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM70 juta iaitu kenaikan sebanyak RM13.25 juta untuk pemberian bantuan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah-sekolah mubaligh dan persendirian di negeri ini pada tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan pada tahun hadapan meningkat berbanding tahun ini iaitu sebanyak RM56.75 juta.

Beliau berharap bantuan itu dapat meringankan beban kewangan pihak sekolah dan badan-badan keagamaan yang terlibat dalam usaha memastikan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan kondusif, selamat dan selesa.

“Kerajaan Negeri komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Sambutan Perayaan Krismas Kota Kinabalu (KKCC) Tahun 2024 di Padang Merdeka di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey G.Kitingan.

Hajiji menyeru semua masyarakat untuk terus mengekalkan keamanan, keharmonian dan kesefahaman yang dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum di Sabah dan terus menjadi contoh di negara ini.

Beliau juga menyeru rakyat Sabah terus mengamalkan cinta kasih kepada sesama umat manusia sampai selama-lamanya. Sesungguhnya, keharmonian di kalangan masyarakat adalah nadi kepada kejayaan aspirasi Kerajaan Sabah Maju Jaya.

“Saya yakin sambutan Perayaan Krismas yang diadakan selama empat hari ini adalah pemangkin kepada kesefahaman dan keharmonian antara pelbagai lapisan masyarakat. 

“Saya berharap semua aktiviti yang dijalankan di sepanjang sambutan ini diterima dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua golongan masyarakat,” katanya.

Katanya, sambutan KKCC kali yang Ke-19 tahun ini yang bertemakan ‘Kasih Melalui Tindakan’ (Love in Action) amat tepat khususnya di negeri Sabah yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Tema itu amat disokong kerana ia mendorong kita untuk saling mengasihi sesama, bukan hanya setakat bercakap mengenai kasih tetapi menterjemahkan dan menunjukkan kasih itu melalui tindakan.

“Kasih di kalangan masyarakat pelbagai suku, bangsa, dan agama ini amat penting untuk kesejahteraan, kemakmuran, dan keamanan negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya.

Hajiji memuji usaha kreatif dan kerjasama pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini yang telah terlibat dalam menghasilkan kalung manik buatan tangan sempena majlis sambutan itu. 

Katanya, kerjasama itu menunjukkan eratnya perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan bekerja keras agar negeri ini terus maju jaya.

“Selamat menyambut Hari Krismas kepada semua masyarakat Kristian dan selamat Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Sektor pelancongan Sabah berkembang 3.0 peratus pada 2023 – DOSM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular