Kota Kinabalu : Orang ramai kini boleh menempah dan menyewa fasiliti dibawah kendalian Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan lebih mudah menerusi aplikasi terbaharu yang dilancarkan bersama GoNet Holdings Sdn Bhd.
Aplikasi yang dikenali sebagai GoNet itu menawarkan pelbagai kemudahan digital termasuklah i-Tempah dan i-Sewa.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian itu yang menandakan satu lagi langkah maju dalam usaha meningkatkan perkhidmatan di bandar raya kita.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada DBKK dan GoNet Holdings Sdn Bhd atas dedikasi mereka dalam menjayakan inisiatif ini, serta sokongan padu daripada semua pihak yang terlibat.
“Kerjasama ini adalah contoh terbaik bagaimana sektor awam dan swasta boleh berganding bahu untuk membawa perubahan positif. Aplikasi ini menawarkan pelbagai kemudahan digital, termasuk i-Tempah yang membolehkan pengguna menempah fasiliti awam seperti dewan dan padang secara dalam talian.
“Selain itu, i-Sewa pula membolehkan pembayaran sewa dan fi pengurusan dengan mudah melalui aplikasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian dan pelancaran i-Sewa dan i-Tempah antara DBKK dan GoNet Holdings Sdn Bhd di sini semalam.
Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Abidin berkata, pengguna terutama penduduk Taman Keramat, Taman Kurnia Jaya, PPR Kionsom, dan pengguna fasiliti seperti Dewan Kota Kinabalu, Dewan Menggatal, Anjung Senja, serta Anjung Perdana kini dapat menikmati kemudahan ini tanpa halangan.
Katanya, sebagai negeri yang berada dalam era transformasi, Sabah komited untuk mencapai status bandar pintar.
Menurutnya, langkah itu sejajar dengan matlamat Sabah Maju Jayadan selaras dengan Keputusan Mesyuarat Majlis Bandar Pintar Negara pada 10 Oktober 2023.
“Mesyuarat tersebut telah menyasarkan sekurang-kurangnya 61 Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara untuk mencapai status Smart Early Adopter menjelang 2025.
“Kerjasama antara DBKK dan GoNet ini turut menyokong tujuh komponen utama bandar pintar iaitu Smart Government; Smart Economy; Smart People; Smart Living; Smart Mobility: Smart Environment dan Smart Digital Infra,” katanya.
Dalam pada itu, Abidin berkata, pencapaian itu bukan sekadar satu kolaborasi, tetapi satu komitmen yang kukuh terhadap visi menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya pintar.
“Langkah ini adalah permulaan kepada perubahan yang lebih besar. Dengan teknologi ini, rakyat bukan sahaja mendapat perkhidmatan yang lebih cekap, tetapi turut menikmati kemudahan yang menjimatkan masa dan kos.
“Ia selaras dengan misi kita untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK