HomeUtamaICCA beri peluang pengunjung teroka pesona alam

ICCA beri peluang pengunjung teroka pesona alam

Read Time:1 Minute, 14 Second

Tongod : Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) membuka peluang kepada pengunjung untuk meneroka pesona alam semula jadi yang menakjubkan sempena Hari Terbuka ICCA selama tiga hari bermula semalam.

ICCA yang turut dikenali sebagai Lembah Tersembunyi Borneo itu dianjurkan Kumpulan Yayasan Sabah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Sabah Environmental Trust.

Program itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan memacu usaha pemuliharaan bagi melindungi salah satu ekosistem paling berharga di Borneo, iaitu Lanskap Hutan Hujan Lembah Danum-Lembangan Maliau-Kanyon Imbak (DaMaI).

Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, Kanyon Imbak merupakan komponen penting dalam Landskap Hutan Hujan DaMaI.

Katanya, ia berfungsi sebagai koridor hidupan liar yang membolehkan pergerakan bebas hidupan liar dan memastikan pemeliharaan kepelbagaian genetik yang terancam untuk jangka masa panjang serta kelestarian ekosistem.

“Koridor unik ini menyokong biodiversiti dan memainkan peranan utama dalam mengekalkan keseimbangan warisan semula jadi di Sabah bagi memastikan spesies dapat berkembang maju di seluruh landskap.

“Oleh itu, program ini merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai Landskap Hutan Hujan DaMaI, serta memastikan pemeliharaan dan pemahamannya dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman.

Dalam menyedari kepentingan penglibatan orang awam dan komuniti setempat dalam usaha pemeliharaannya, Kumpulan Yayasan Sabah komited untuk melaksanakan lebih banyak inisiatif berasaskan komuniti bagi meningkatkan kesedaran tentang pemeliharaan Landskap Hutan Hujan DaMaI untuk generasi akan datang. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Perkongsian Strategik untuk Masa Depan Tenaga Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular