Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menghargai sokongan yang berterusan PETRONAS dalam memperkasa pendidikan di negeri ini khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata sokongan PETRONAS dalam pendidikan dan pembangunan modal insan di Sabah menerusi beberapa siri inisiatif termasuk sokongan kepada Program WeHelp yang diterajui oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.
“Di bawah program itu, PETRONAS serta Yayasan PETRONAS, PETRONAS Floating LNG, Universiti Teknologi PETRONAS, dengan kerjasama SLB, hari ini telah menyumbang sebanyak 17,190 kalkulator saintifik kepada pelajar di Sabah, yang bertujuan memajukan STEM di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kalkulator Saintifik bagi Program WeHelp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, hari ini.
Arifin turut menzahirkan penghargaan kepada JPN Sabah sebagai peneraju Program WeHelp.
Katanya, usaha bersama ini menunjukkan kesepakatan untuk memastikan setiap pelajar di Sabah menerima peluang pendidikan yang sama rata.
“Program WeHelp merupakan usaha murni yang selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), yang bertujuan merapatkan jurang pendidikan serta mengurangkan kadar keciciran, terutama dalam kalangan pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
“Inisiatif ini bukan sahaja memastikan pelajar memiliki akses kepada kemudahan pembelajaran, tetapi turut meringankan beban keluarga, khususnya daripada golongan B40.
“Ia juga berfungsi sebagai dorongan kepada pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
“Sumbangan kalkulator saintifik ini membawa makna yang mendalam, kerana ia adalah alat penting dalam meningkatkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran STEM,” katanya.
Pada majlis itu, turut diadakan acara menandatangani Memorandum Persefahaman antara PETRONAS dengan Institut Latihan Teknik dan Perdagangan Papar, serta Kolej Teknologi Yayasan Sabah bagi pelaksanaan Program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA).
Program ini bertujuan meningkatkan latihan teknikal dan kesediaan tenaga kerja di Sabah selaras dengan keperluan industri minyak dan gas global.
PETRONAS turut menyerahkan surat niat kepada Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sabah mengenai penyediaan latihan industri kepada belia Sabah di bawah inisiatif VISTA 2.0 yang dipertingkat, bagi membolehkan graduan mendapat Sijil Kecekapan CIDB dalam bidang kemahiran yang berkaitan.
Inisiatif ini akan memastikan kebolehpasaran graduan dalam sektor minyak dan gas, memberikan mereka kelayakan yang diiktiraf industri, dan meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja.
Sejajar dengan Pelan Sabah Maju Jaya negeri Sabah, PETRONAS juga mengumumkan tajaan RM702,000 kepada POMIGAS 2.0, sebuah platform di bawah Sabah Jobs Portal.
Platform ini direka bentuk untuk meningkatkan peluang pekerjaan dengan dilengkapi data mengenai landskap bakat tempatan, dalam industri minyak dan gas.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Abdullah Monshie berkata, Sabah sentiasa menjadi bahagian yang penting dalam perjalanan PETRONAS.
“Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk memupuk bakat, membina komuniti yang berdaya tahan, dan menyokong pembangunan Sabah,” jelasnya.
Program setengah hari itu turut diserikan dengan aktiviti pendidikan dan ceramah kerjaya, termasuk sesi Discover STEM oleh Petrosains yang memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung kepada seramai 120 pelajar, dan disertai oleh 12 guru.
Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin dan Pengurus Besar, PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.