Kota Kinabalu : Lebih 600 kilogram sisa sampah berjaya dikutip pada Program Menyemai Masa Hadapan ‘Jom Bersihkan Pantai’ yang diadakan di Pantai ODEC, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini baru-baru ini.
Program anjuran Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dengan kerjasama UMS melalui Pusat Pengurusan Ecocampus itu turut dihadiri 200 peserta dalam kalangan mahasiswa UMS dan komuniti setempat.
Penganjuran program yang disokong PETRONAS, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Impactlution itu turut diserikan dengan kehadiran artis tanah air kelahiran Sabah, Stacy yang terlibat sama mengutip sampah semasa program.
YHM dalam satu kenyataan memaklumkan, program yang bertemakan ‘Ke Arah Masyarakat Mampan’ itu bertujuan untuk mengubah gaya hidup hijau serta menangani isu pencemaran alam sekitar.
Menurut YHM, selain program pembersihan pantai, pihaknya turut mempromosikan inisiatif yang telah dijalankan bersama PETRONAS iaitu program peningkatan kemahiran komuniti bersama penduduk Kampung Cenderamata 2 dan Kampung Warisan melalui demonstrasi penghasilan produk berasaskan barangan kitar semula jenis plastik dan tekstil.
“Kedua-dua kampung ini telah menerima bantuan berupa mesin ‘precious plastic’ dan mesin jahit untuk menukar barangan kitar semula kepada produk cenderamata yang boleh menjadi sumber pendapatan sampingan kepada komuniti.
“Selain itu, aktiviti perkongsian ilmu kelestarian, pertandingan kutipan sampah terberat dan cabutan bertuah turut diadakan termasuk persembahan nyanyian oleh Stacy pada penghujung program,” menurut kenyataan itu di sini semalam. – SABAH MEDIA