KOTA KINABALU: Kota Kinabalu Christmas Celebration (KKCC) 2024 menjadi lambang keharmonian masyarakat Sabah, menyerlahkan semangat kasih sayang dan perpaduan yang ditonjolkan sepanjang acara berlangsung.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, KKCC 2024 menonjolkan kepentingan menghormati perbezaan dan memperkukuhkan hubungan sesama komuniti.
Beliau berharap sambutan tahunan ini dapat meninggalkan kenangan manis serta mempereratkan lagi ikatan persaudaraan.
Berucap pada malam penutupan KKCC 2024, di Padang Merdeka, Kota Kinabalu malam tadi, (13 Dis) Dr. Joachim menekankan bahawa kejayaan acara ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu daripada komuniti.
Antara pencapaian terbesar sambutan tahun ini ialah rekod baharu yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Records bagi “Largest Distribution of Hand-Made Beads Necklace”, dengan lebih 10,000 kalung manik diagihkan secara percuma kepada semua yang hadir.
“Ia adalah simbol perpaduan dan kasih sayang yang kita raikan bersama,”katanya.
“Kita bersyukur kepada Kerajaan hari ini kerana kita dapat menganut agama kita tanpa sebarang halangan. Justeru, sebagai satu tanda yang Kerajaan hari ini mengamalkan kepelbagaian agama, peruntukan Kerajaan kepada semua penganut bukan Islam telah ditingkatkan tahun demi tahun iaitu sebanyak pada tahun hadapan (2025) peruntukan yang disalurkan ialah RM70 million berbanding tahun semasa (2024) RM56 million.
“Itu satu peningkatan terbaik dan kita amat menghargai Ketua Menter Datuk Seri Hajiji Noor,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang itu.
Acara lain yang turut menyerikan sambutan termasuk perarakan kereta berhias, konsert tradisi Krismas, penciptaan lagu baharu dalam album Krismas dan KKCC Fun Run. Program membersihkan pantai pula menonjolkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.
Dr. Joachim turut mengucapkan tahniah kepada Sabah Council of Churches (SCC) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atas kerjasama erat yang menjadi asas kejayaan sambutan tahun ini.
Tema KKCC 2024, “Love in Action” atau “Kasih Melalui Tindakan”, diharap dapat terus menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pelaksana KKCC 2024, yang diketuai oleh Penatua Prof. Dr. Jidon Janaun, atas dedikasi dan usaha menjayakan acara yang penuh warna-warni ini.
Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Richard Yong We Kong; Ahli Parlimen Tuaran yang juga Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd, Datuk Seri Madius Tangau; Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tan Lee Fat; Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Tan Lee Fat; Presiden Gereja-gereja Sabah selaku pengerusi bersama KKCI 2024, Bishop Datuk Melter Jiki Tais; Setiausaha Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah mewakili Presiden SIB Sabah, Reverend Datuk Jerry Ir. Dusing, Ketua Pengarah Sektor Kewangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lifred Wong serta Setiausaha-setiausaha Tetap dan Pegawai-pegawai Kerajaan.