Kota Kinabalu : Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diminta untuk terus menyokong penganjuran program-program akademik dan kokurikulum kepada para pelajar khususnya dalam semua peringkat.
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, ia penting bagi memastikan lebih banyak sekolah di negeri ini meningkatkan tahap kecemerlangan khususnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sememangnya kita amat mengetahui bahawa pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu adalah sekolah yang sentiasa memberikan gred kecemerlangan SPM di peringkat Sabah.
“Jadi untuk memberikan sokongan kepada usaha mereka, PIBG dan Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) diminta untuk memberikan sokongan dan menganjurkam beberapa program terutamanya program akademik kokurikulum bagi kemenjadian dan keberkesanan untuk mereka menduduki peperiksaan terutama peperiksaan SPM nanti, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi SMK Agama Kota Kinabalu Ke-11 Tahun 2024 di sini hari ini.
Terdahulu, Lebih 300 pelajar SMK Agama diraikan dalam majlis itu.
Acara kemuncak merupakan penyampaian enam anugerah khas yang diberikan kepada pelajar cemerlang akademik dan kokurikulum.
Antaranya Anugerah Tokoh Pelajar Mithali, Anugerah Tokoh Nilam, Anugerah Tokoh Kokurikulum, Anugerah Tokoh Khidmat Bakti dan Anugerah Anugerah Tokoh SUMUR (Sahsiah Unggul Murid).
Ia bertujuan mengiktiraf usaha dan kejayaan pelajar serta pihak terlibat agar terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih gemilang. – SABAH MEDIA