Kota Kinabalu : Perkhidmatan feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu yang dijadualkan bermula esok mengalami kelewatan dan ditangguhkan pengoperasian.
LDA Labuan-Holdings Sdn. Bhd. (LDAH) dalam satu kenyataan memaklumkan kelewatan perjalanan laluan Labuan-Kota Kinabalu – Labuan itu adalah disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
Menurut LDAH, antara isu berkaitan penangguhan itu adalah melibatkan isu teknikal yang tidak dapat dielakkan di mana memerlukan sedikit masa untuk memastikan Feri yang digunakan disahkan dari segi aspek keselamatan, penyelenggaraan dan mematuhi prosedur pengangkutan penumpang.
“Selain itu, pihak LDAH sedang mendapatkan kelulusan kebenaran penggunaan kemudahan Jeti di Sabah dan kelulusan dari segi kemudahan lain yang berkaitan supaya menepati keperluan pendaratan feri penumpang yang beroperasi,” menurut kenyataan itu di sini.
LDAH merupakan operator Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan Double Power adalah operator kapal express laluan Labuan-Kota Kinabalu.
Tambah kenyataan itu lagi, jika perkara itu dapat diselesaikan segera, perkhidmatan feri ini akan mula beroperasi mengikut tempoh dan masa yg akan ditetapkan semula.
“Kami memohon maaf atas kelewatan ini dan akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan perjalanan untuk laluan Labuan-Kota Kinabalu-Labuan dapat dilaksanakan secepat mungkin,” tambah kenyataan itu lagi.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkatara, perkhidmatan feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu akan beroperasi semula pada 15 Dis selepas hampir tiga tahun dihentikan susulan pandemik COVID-19.
Katanya, ia merupakan peristiwa penting dalam langkah meningkatkan sistem perhubungan di pulau bebas cukai ini.
Sebelum ini, perkhidmatan itu sangat popular namun operasinya terpaksa dihentikan kerana kurang mendapat sambutan ketika penularan COVID-19. – SABAH MEDIA