Kota Kinabalu : SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) mencipta satu pencapaian baharu dalam sektor minyak dan gas apabila berjaya melombong minyak mentah ketujuhPerjanjian Perkongsian Pengeluaran Samarang (PSC) pada Disember 2024.
SMJE dalam satu kenyataan memaklumkan, pelombongan yang melibatkan kira-kira 300,000 tong minyak mentah itu adalah bernilai RM100 juta dan ianya menjadikan jumlah hasil jualan minyak dan gas SMJE sebanyak RM1.5 bilion sejak tahun 2023.
Menurut kenyataan itu, jualan minyak SMJE telah memenuhi pasaran domestik dan antarabangsa, manakala jualan gasnya hanya dibekalkan kepada pelanggan di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Labuan.
“Oleh kerana PSC Samarang adalah satu-satunya pembekal gas kepada KKIP, SMJE memainkan peranan penting dalam menyokong sektor tenaga dan pertumbuhan industri di Sabah,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
SMJE bertindak sebagai pelabur kewangan yang bijak dengan memberi tumpuan terutamanya kepada aset pengeluaran yang menguntungkan dengan aliran tunai yang kukuh, yang diuruskan oleh pengendali yang berwibawa dengan rekod prestasi ESG (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus) yang terbukti.