HomeIsu tempatanUMS, Special Olympics Sabah meterai kerjasama tingkat kesejahteraan OKU

UMS, Special Olympics Sabah meterai kerjasama tingkat kesejahteraan OKU

Read Time:1 Minute, 39 Second

Kota Kinabalu:  Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah memeterai satu kerjasama bersama Special Olympics Sabah yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan inklusif bagi golongan orang kurang upaya (OKU) intelektual di Sabah.

Kejasama kedua-dua pihak tersebut dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani Surat Niat (LoI) antara UMS dan Special Olympics Sabah yang berlangsung di Auditorium Utama FPSK. 

Dekan FPSK, Datuk Dr. Mohd Yusof Ibrahim mewakili UMS menandatangani LoI tersebut, manakala Special Olympics Sabah diwakili Pengerusinya, Dr. Jiloris Julian Frederick Dony.

Melalui pemeteraian LoI tersebut, kedua-dua pihak akan melaksanakan komitmen bersama untuk menangani jurang kesihatan yang dihadapi oleh individu dengan kurang upaya intelektual melalui kerjasama dalam perkhidmatan klinikal, program komuniti, dan aktiviti pendidikan.

Dalam pada itu, Mohd Yusof dalam ucapannya sempena majlis tersebut menekankan kepentingan kerjasama UMS dan Special Olympics Sabah sebagai usaha untuk memastikan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan inklusif dalam bidang sains kesihatan.

“Kerjasama ini mencerminkan semangat Malaysia Madani dengan memastikan institusi pendidikan dan kesihatan berganding bahu bagi mewujudkan ekosistem inklusif untuk semua, terutamanya bagi golongan terpinggir.

“Ini sekali gus menggambarkan visi UMS untuk berkhidmat kepada komuniti dan memastikan individu dengan kurang upaya intelektual menerima peluang kesihatan yang saksama. 

“Melalui usaha bersama dalam pendidikan, latihan, dan penyelidikan, kami berhasrat untuk membentuk masyarakat yang lebih inklusif,” katanya. 

Jiloris yang turut senada menyokong inisiatif kolaborasi tersebut menambah, kerjasama itu mengukuhkan lagi misi Special Olympics Sabah khususnya dalam memperkasakan individu dengan kurang upaya intelektual bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bermakna.

“Kami amat teruja untuk bekerjasama rapat dengan UMS bagi membawa perubahan yang berimpak kepada komuniti,” ujar beliau. 

Bidang utama kerjasama yang digariskan dalam LoI tersebut termasuk  saringan dan perkhidmatan kesihatan, latihan dan peningkatan keupayaan, serta penyelidikan dan inovasi, dengan kerjasama itu dijangka membuka laluan kepada inisiatif berimpak tinggi yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya dalam memastikan kehidupan sihat dan mempromosikan kesejahteraan untuk semua. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

80 mangsa terjejas banjir dipindahkan ke PPK Selagon

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular