Kota Kinabalu : Perayaan sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru Cina peringkat negeri akan dikendalikan secara rasmi oleh kerajaan bermula tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengambil alihan sambutan perayaan itu pertama kali dilakukan oleh kerajaan negeri yang mana tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Jadi, mulai tahun ini, pada Februari yang lalu kita sudah mula menyambut perayaan Tahun Baru Cina secara rasmi di peringkat negeri dikendalikan oleh kerajaan.
“Begitu juga dengan sambutan Krismas pada tahun ini yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan untuk sambutan Krismas tahun hadapan kita putuskan untuk ianya diraikan di peringkat negeri dan dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Tengah Hari Bersama Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah Sempena Hari Natal di sini semalam.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, tujuan pelaksanaan sambutan tersebut oleh kerajaan negeri adalah untuk rakyat Sabah saling hormat menghormati dan meraihkan perayaan-perayaan besar rakyat di negeri ini.
“Kerana bagi kita, meraihkan kepelbagaian ini adalah sesuatu yang cukup baik kerana ia telah dilakukan sejak turun temurun oleh nenek moyang kita dengan perayaan masing-masing.
“Kita mesti wujudkan masyarakat yang berbilang kaum ini dalam satu suasana yang baik terutama dalam merayakan perayaan keagamaan masing-masing.
“Inilah yang kita mahu bawa dalam pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini, kita memberi layanan yang sama rata kepada setiap rakyat kita di negeri ini tanpa memikirkan perbezaan agama, kaum dan juga etnik.
“Saya berharap sempena hari yang baik, Hari Krismas dan Tahun Baru ini, kita rapatkan persaudaraan, perpaduan dan keharmonian kita,” katanya.
Dalam majlis sama, Hajiji turut menyampaikan sumbangan kepada 16 orang pelajar dari Pusat Jagaan Woorijib St. Francis Xavier, Kampung Potuki. – SABAH MEDIA