Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi bayangan untuk kekal terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Yang lain itu, kita tengok, kalau fikiran mereka bagus, tidak gila, kita akan fikirkan sebab kita ini mahukan kebaikan, saya jadi Ketua Menteri dan yang saya mahu adalah perpaduan.
“Itu sebab saya tubuhkan GRS yang disertai oleh lapan komponen parti, walaupun di dalamnya terdapat parti yang kecil, tidak menang dalam PRN lepas, tapi niat saya baik, untuk kita satu hati.
“Cukuplah dengan pelajaran kita di masa-masa yang lalu. Misi saya sekarang mahu baik dengan orang, kita kumpulkan Presiden-Presiden parti yang ada dan bukan senang mengurus ini, memang penat tapi InsyaAllah mereka juga sudah menyatakan komitmen dengan GRS,” katanya.
Beliau berkata demikian, ketika berucap pada Majlis Jamuan Tengah Hari Bersama Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sempena Hari Natal di sini, semalam.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, beliau juga sudah memaklumkan kedudukan GRS yang pasti akan menang dalam PRN akan datang kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.
Hajiji turut mengingatkan semua ahli partinya untuk terus merapatkan barisan perpaduan dan fokus bekerja bagi persiapan menghadapi PRN akan datang.
“Bulan Oktober adalah adalah bulan berakhirnya tempoh kerajaan ini. Ini bermakna kita boleh bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum itu ataupun pada waktu itu,” katanya. – SABAH MEDIA