Oleh: Wan Azrain Adnan, 15 Disember 2024
Kesejahteraan rakyat Malaysia terus menunjukkan peningkatan berdasarkan laporan terbaru Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2023, yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). IKRM mengukur tahap kesejahteraan rakyat dari perspektif ekonomi dan sosial, menggunakan 5 komponen ekonomi dan 9 komponen sosial, dengan 70 indikator yang meluas.
Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) | |
Kesejahteraan Ekonomi: Komponen | Kesejahteraan Sosial: Komponen |
Pengangkutan Komunikasi Pendidikan Pendapatan & Pengagihan Persekitaran Kerja | Perumahan Hiburan dan Rekreasi Keselamatan Awam Penyertaan Sosial Tadbir Urus Kebudayaan Kesihatan Alam Sekitar Keluarga |
25 Indikator | 45 Indikator |
Peningkatan Kesejahteraan Rakyat Secara Keseluruhan
Laporan IKRM 2023 menunjukkan peningkatan keseluruhan dari 120.4 mata indeks (2022) kepada 121.3 mata indeks (2023), dengan kedua-dua kesejahteraan ekonomi dan sosial mencatatkan peningkatan:
- Kesejahteraan Ekonomi: 130.0 (2022) → 130.7 (2023)
- Kesejahteraan Sosial: 115.1 (2022) → 116.0 (2023)
Prestasi Komponen Kesejahteraan
Kesejahteraan Ekonomi
Daripada lima komponen, tiga menunjukkan peningkatan:
- Pengangkutan (+3.1 mata): Penambahan stesen KTM Komuter dan peningkatan jumlah penumpang.
- Komunikasi (+0.2 mata): Peningkatan penggunaan internet dan telefon bimbit.
- Pendidikan (+1.1 mata): Kadar literasi dan kelulusan subjek SPM meningkat.
Namun, dua komponen mencatatkan penurunan:
- Pendapatan & Pengagihan (-0.1 mata): Penurunan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita.
- Persekitaran Kerja (-0.8 mata): Peningkatan kadar kemalangan perusahaan.
Kesejahteraan Sosial
Daripada sembilan komponen, enam mencatatkan peningkatan, antaranya:
- Hiburan & Rekreasi (+2.7 mata): Peningkatan langganan TV berbayar dan penginap hotel domestik.
- Keluarga (+2.2 mata): Penurunan kadar perceraian dan kes keganasan rumah tangga.
- Kebudayaan (+5.7 mata): Peningkatan keahlian perpustakaan dan pengunjung muzium.
Tiga komponen mengalami penurunan:
- Perumahan (-0.2 mata): Penurunan peratus rumah kos rendah untuk golongan B40.
- Keselamatan Awam (-1.7 mata): Peningkatan kadar jenayah dan kemalangan jalan raya.
- Alam Sekitar (-4.3 mata): Penurunan kualiti air dan udara serta peningkatan suhu maksimum.
Prestasi Negeri dan Wilayah
Lima negeri menunjukkan peningkatan IKRM, manakala lapan negeri mengalami penurunan. Sabah merekodkan penurunan terbesar (-2.6 mata), dengan kesejahteraan ekonomi dan sosial masing-masing menurun sebanyak 3.4 dan 2.1 mata.
Walaupun begitu, IKRM Sabah menunjukkan peningkatan yang signifikan sejak 2010, dengan kesejahteraan ekonomi naik 26.2 mata indeks dan sosial naik 9.8 mata.
Inisiatif Kerajaan Sabah
IKRM-Sabah menunjukkan Sabah masih lagi di belenggu dengan isu-isu legasi yang terus menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat Sabah. Isu-isu tersebut sudah berakar dan berlanjutan untuk tempoh masa yang sangat lama, dari generasi ke generasi.
Maka, sudah pasti penyelesaian-nya akan mengambil masa, memerlukan dana kewangan yang besar dan keazaman yang tinggi.
Pada bulan Mac 2021, Kerajaan Sabah telah melancarkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (2021 – 2025) sebagai rangka kerja pembangunan Sabah secara menyeluruh. Sehingga kini, pelaksanaan Pelan SMJ tersebut telah berjaya menghasilkan pelbagai manfaat untuk kesejahteraan rakyat Sabah.
Antara pencapaian utama ialah kejayaan Kerajaan Sabah menghapuskan insiden Miskin Tegar di Sabah, sebagaimana di umumkan oleh Ketua Menteri Sabah pada bulan Ogos 2024
Tambahan lagi, Kerajaan Sabah turut menyediakan peruntukan RM 358.5 juta untuk Program Sentuhan Kasih Rakyat, sebagai usaha khusus membantu kumpulan miskin menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meninggi.
Bagi mengatasi isu legasi yang menjejaskan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Sabah telah melancarkan Pelan Sabah Maju Jaya (2021-2025). Beberapa pencapaian utama termasuk:
- Penghapusan miskin tegar (Ogos 2024).
- Belanjawan Sabah 2025:
- RM488.5 juta untuk pembasmian kemiskinan, termasuk pembinaan 3,000 Rumah Mesra SMJ.
- RM2.607 bilion untuk infrastruktur seperti bekalan air, elektrik, dan jalan raya.
Dengan pelan strategik dan peruntukan besar, Kerajaan Sabah berharap untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dalam masa terdekat.