KOTA KINABALU: Seramai 15 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru menerima sumbangan daripada Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Balai Raya Kampung Tanjung Aru Baru di sini pada Ahad (15 Dis).
Kebakaran yang berlaku baru-baru ini telah memusnahkan tujuh buah rumah dan menjejaskan 15 keluarga.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ketua Wanita GRS Datuk Seri Azizah Mohd Dun.
Sumbangan tersebut berupa wang tunai dan bakul makanan.
Azizah berkata biarpun sedikit sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat meringankan sedikit bebanan mereka dan diharap dapat memberi semangat baharu kepada mangsa.
Beliau menyeru masyarakat dan organisasi lain untuk terus memberikan sokongan kepada mangsa kebakaran ini, agar mereka dapat kembali membina kehidupan mereka dengan lebih baik.
“Mari kita bersama-sama mengambil berat dan prihatin pada keluarga kita, jiran kita, saudara kita tidak kira jauh dekat, kenalan kita dalam komuniti dan semuanya.
“Amalan bantu-membantu bagi meringankan beban mereka yang dilanda kepayahan dan musibah, adalah amat besar ganjaran pahala dari Tuhan dan kita sekaligus dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia,” katanya selepas program penyerahan sumbangan itu.
Turut hadir Wakil rakyat N.23 Petagas merangkap Ketua Bahagian Gagasan Rakyat N. 23 Tanjung Aru, Datuk Awang Ahmad Shah Datuk Awang Shaari, Ketua Wanita SAPP, Noraiza Mohd Noor Mansor, Ketua Zon 3, Penolong Bendahari, Datuk Surinam Sadikun, Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait dan Bendahari Wanita GRS, Datin Mary Wong.