Kota Kinabalu: Tun Musa Aman menjunjung kasih kepada Yang di- Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas pengurniaan Surat Cara Pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 pada satu istiadat di Istana Negara.
Bekas Ketua Menteri itu menerusi hantaran di Facebooknya turut menzahirkan kesyukuran atas pelantikan tersebut dan turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
“Alhamdulillah, pagi ini saya menerima suratcara pelantikan sebagai Yang di- Pertua Negeri Sabah ke-11 daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong di Singgahsana Kecil Istana Negara Kuala Lumpur.
“Menjunjung Kasih Tuanku. Terima kasih YAB Perdana Menteri Malaysia dan terima kasih YAB Ketua Menteri Sabah,” katanya dalam hantaranya di sini hari ini.
Pada istiadat sama, Musa turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
Musa, 73, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga dilantik bagi menggantikan Yang di-Pertua Negeri sekarang, Tun Juhar Mahiruddin.
Tun Juhar akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini selepas memegang jawatan berkenaan sejak 2011, menjadikannya Yang di-Pertua Negeri paling lama berkhidmat setakat ini. SABAH MEDIA / FOTO ISTANA NEGARA