Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu: Jumlah guru pendidikan khas khususnya di sekolah yang mengalami kekurangan tenaga pengajar dalam bidang itu perlu diberi perhatian sewajarnya.
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, ini kerana jumlah pelajar yang berkeperluan khas dilihat semakin bertambah setiap tahun.
“Kita melihat kelas-kelas di sekolah arus perdana melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) ini perlu ditambah baik termasuklah menambah jumlah kelas dan bilang guru dalam bidang berkaitan.
“Saya difahamkan jumlah bilangan guru dalam bidang ini agak berkurangan dan ini perlu diberikan perhatian oleh kementerian atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk penambahan guru-guru PPKI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Murid Tahun Enam, PPKI dan Pra Sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Luyang di sini hari ini.
Terdahulu, Arif ketika berucap berkata, pihaknya mahu para ibu bapa agar sama-sama berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam melaksanakan aktiviti berkaitan.
“Dengan adanya hubungan tiga hala antara guru, murid dan ibu bapa sudah pasti suasana sekolah akan menjadi lebih harmoni, ceria, kondusif dan cemerlang.
“InsyaAllah berkar kerjasama dan komitmen daripada guru dan ibu abap, kejayaan dan kegemilangan pasti akan dicapai,” katanya.
Pada majlis itu seramai 150 pelajar menerima anugerah kecemerlangan akademik. – SABAH MEDIA