Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu, Tun Musa Aman selamat tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini selepas menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 daripada Yang di- Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Istana Negara semalam.
Pesawat khas yang membawa beliau dan rombongan mendarat di KKIA kira-kira jam 12.02 tengah hari tadi.
Ketibaan Tun Musa disambut oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta beberapa ahli jemaah Kabinet negeri Sabah.
Turut hadir bagi menyambut ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 itu ialah ketua-ketua jabatan dan ribuan rakyat negeri ini.
Musa, 73, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
Beliau merupakan anak jati Beaufort berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Edith Cowan University, Australia.
Tun Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-14 pada 27 Mac 2003, menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat dan memegang jawatan itu selama lima penggal sehingga 12 Mei 2018, menjadikannya Ketua Menteri Sabah paling lama memegang jawatan tersebut.
Selain berkhidmat sebagai Ketua Menteri, beliau yang juga ADUN Sungai Sibuga selama 6 penggal (1994 – 2020) juga pernah memegang jawatan penting termasuk Menteri Kewangan Sabah, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Konsul Kehormat Malaysia di Bangladesh.
Terdahulu, kira-kira 6,000 orang rakyat melibatkan sekitar bandaraya Kota Kinabalu dan beberapa daerah lain menyambut ketibaan Tun Musa di Terminal 2 KKIA di sini. – SABAH MEDIA