Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, menafikan dakwaan tular mengenai perobohan rumah balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam insiden Kampung Simunul, Semporna pada 2013.
Menurut beliau, rumah yang dimaksudkan sebenarnya milik ayah kepada balu tersebut, yang dibina sejak 1980-an dan kini didiami oleh adik balu bersama anak-anaknya.
“Rumah yang didakwa dirobohkan di Pulau Bodgaya, Semporna sebenarnya adalah milik ayah kepada balu tersebut dan telah dibina pada tahun 1980-an.
“Rumah itu didiami oleh adik balu bersama anak-anaknya, manakala balu tersebut tinggal di kawasan daratan dan memiliki rumah sendiri.
“Rumah milik balu atau ahli keluarga tidak dirobohkan.
Operasi hanya menyasarkan rumah-rumah kosong yang dipercayai milik warga asing,” jelasnya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Jauteh menjelaskan, operasi Op Kolonis Setinggan ini bertujuan menghapuskan penempatan setinggan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
“Sebanyak 3,257 rumah telah dirobohkan, semuanya bukan milik warganegara Malaysia.
“Di samping itu semasa operasi ini pihak penguatkuasa juga tidak pernah mengeluarkan apa-apa ugutan ke atas individu berkenaan dan yang paling penting rumah ini (balu polis berkenaan) tidak pernah dirobohkan,” tegas beliau.
Beliau percaya bahawa isu ini telah dimanipulasi pihak tertentu untuk mencabar usaha penguatkuasaan di Sabah.
Ditanya mengenai isu tanah yang dikeluarkan notis oleh Taman-Taman Sabah kepada penduduk di pulau berkenaan, Jauteh berkata pihak penguatkuasa termasuk PDRM adalah sebahagian daripada kumpulan operasi berkenaan.
“Kita telah menekankan daripada awal isu di Kampung Bodgaya ini, isu ini adalah notis dikeluarkan oleh Taman-Taman Sabah dan pihak penguatkuasa termasuk PDRM merupakan sebahagian daripada kumpulan operasi berkenaan.
“Tanah ini adalah di bawah Taman-Taman Sabah dan mungkin ada isu berkaitan dengan tanah ini yang mana penduduk di tempat itu telah membina rumah sejak tahun 80-an. Jadi ini kita serahkan kepada pihak kerajaan negeri dan juga Taman-Taman Sabah untuk mengatasi isu berkaitan.
“Kita juga telah menekankan daripada awal bahawa mana-mana rumah milik warga negara Malaysia yang dijumpai semasa operasi ini tidak akan dirobohkan,” jelas beliau lagi.
Berikutan dakwaan perobohan rumah balu berkenaan, Jauteh memaklumkan bahawa pihak PDRM telah menghantar pegawai untuk bertemu keluarga balu tersebut bagi memahami keadaan sebenar.
“Balu tersebut mengesahkan dia hanya sesekali melawat keluarga di kawasan itu (Pulau Bodgaya) dan menyatakan ada kemungkinan berlaku salah faham mengenai status kawasan tersebut.
“Siasatan lanjut akan dilakukan, termasuk kemungkinan tindakan terhadap pihak yang memanipulasi isu ini,” tegasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru masyarakat untuk mendapatkan maklumat tepat serta menyokong usaha membanteras masalah setinggan oleh PATI.