Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus melebarkan lagi kerjasama bersama institusi pengajian tinggi (IPT) di rantau Asia Tenggara apabila memeterai kolaborasi bersama Universitas Muhammadiyah (UNISMUH) Makassar, Indonesia.
Kolaborasi antara kedua-dua universiti tersebut dimeterai menerusi satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan UNISMUH Makassar di UMS.
UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor menandatangani MoU tersebut, manakala UNISMUH Makassar diwakili oleh rektor, Dr. Ir. H. Abdul Rakhim Nanda.
Menerusi kerjasama tersebut, UMS dan UNISMUH Makassar akan menjalinkan hubungan dan kerjasama lebih erat dalam pelbagai aspek khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, mobiliti pelajar dan lain-lain.
Terdahulu, Kasim dalam ucapannya berkata, kerjasama antara Fakulti Pertanian Lestari (FPL) dan Fakultas Pertanian, UNISMUH Makassar telah dijalinkan semenjak tahun 2023 melalui surat niat (LoI).
“Melalui LoI tersebut seramai lapan orang pelajar dan tiga orang kakitangan akademik FPL UMS telah menyertai program mobiliti Makassar Academic and Culture Heritage Activity yang diadakan di UNISMUH Makassar pada bulan Mei 2023.
“Susulan daripada itu, kedua-dua pihak telah bekerjasama mengadakan International Research Seminar, Kuliah Tamu, Scientific Writing Workshop, Joint Research and Publication, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Kampung Batu 12 Sandakan dan program Internasional CSR di Sekolah Indonesia Mekkah pada tahun ini.
“Jalinan kerjasama tersebut berjalan dengan baik, yang mana kedua-dua pihak saling berbalas mengadakan program yang memberikan manfaat kepada warga kedua-dua universiti khususnya pelajar dan pensyarah,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rakhim dalam ucapan balasnya merakamkan penghargaan kepada UMS atas kejayaan pemeteraian MoU tersebut.
UNISMUH Makassar juga katanya melihat potensi untuk kerjasama dalam bidang-bidang lain, termasuk bidang perubatan menerusi Fakultas Kedokteran dan Ilmu Kesehatan.
Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan FPL, Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad; Ketua Bahagian Harta Intelek LP3M UNISMUH Makassar, Prof. Dr. Syamsia; dan Pengarah Kerja Sama UNISMUH Makassar, Dr. Maharida Manindar.