Beberapa hari lepas, semasa Persidangan Dewan Negara, Menteri Ekonomi Malaysia memaklumkan kejayaan agenda pembasmian insiden Miskin Tegar di seluruh negara.
Berdasarkan data e-Kasih, dalam tempoh masa 1 tahun, jumlah keseluruhan insiden Miskin Tegar negara telah menurun dengan mendadak 98%, dari 91,789 (2023) kepada 2,191 (2024). Ini merupakan satu kejayaan luar biasa dalam tempoh masa yang singkat.
Malah, 4 negeri dan wilayah, iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis, telah merekodkan sifar Miskin Tegar.
Rata-rata, semua negeri dan wilayah telah merekodkan kejayaan penurunan besar, antaranya: Sarawak (99.6%), Sabah (98.5%), Terengganu (98.4%), Kedah (97.3%).
Fakta menarik. Insiden Miskin Tegar merujuk kepada isi rumah yang memiliki pendapatan kecil yang tidak pun mencukupi untuk membeli barangan makanan keperluan hidup, iaitu berada di bawah kadar Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan (PGK Makanan).
Dengan mengambil kira kos sara hidup yang berbeza-beza di antara negeri dan wilayah di seluruh negara, Kerajaan Malaysia telah menetapkan kadar PGK Makanan berbeza, yang turut terbahagi kepada kawasan bandar dan luar bandar.
Sebagai contoh. Kadar PGK Makanan tertinggi adalah di Terengganu (RM 1,367), dan terendah di Pulau Pinang (RM 1,036). Manakala, kadar PGK Makanan nasional (RM 1,198).
Namun begitu, pengumuman kejayaan tersebut telah menimbulkan kekeliruan melibatkan Sabah. Untuk sekian lama, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Sabah (1.2%) telah merekodkan insiden Miskin Tegar yang tertinggi di Malaysia, iaitu 6 kali ganda lebih tinggi dari peratusan nasional (0.2%).
Pada pertengahan bulan Ogos 2024, Ketua Menteri Sabah telah mengumumkan kejayaan Kerajaan Sabah menghapuskan insiden Miskin Tegar di Sabah pada 31 Julai 2024.
Kejayaan ini terhasil dari komitmen dan usaha Kerajaan Sabah menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 (2021 – 2025), yang di lancarkan oleh Kerajaan Sabah sediada pada bulan Mac 2021.
Sesungguhnya kejayaan berkenaan menjadi kebanggaan rakyat Sabah, serta membuktikan kecekalan dan nekad yang tinggi untuk menambah-baik kesejahteraan hidup rakyat Sabah. Dari wilayah dengan insiden Miskin Tegar tertinggi di Malaysia, kepada sifar Miskin Tegar.
Justeru itu, kenyataan dan data Miskin Tegar yang di maklumkan oleh Menteri Ekonomi Malaysia jelas bercanggah dengan pengumuman oleh Ketua Menteri Sabah. Secara tidak langsung, Menteri Ekonomi Malaysia telah mengetepikan kejayaan Kerajaan Sabah dan kebanggaan rakyat Sabah.
Ini telah menimbulkan persoalan utama: adakah Sabah sifar Miskin Tegar?
Secara ringkas-nya, persoalan ini boleh terjawab dengan dua kemungkinan:
- data yang di kemukakan oleh Menteri Ekonomi Malaysia adalah data lama yang belum di kemaskini, sebagaimana data yang di miliki oleh Kerajaan Sabah
- insiden Miskin Tegar telah muncul kembali di Sabah di antara bulan Ogos – November 2024, selepas pengumuman Ketua Menteri Sabah mengenai penghapusan insiden Miskin Tegar
Malangnya, ini bukanlah kali pertama data Miskin Tegar yang di kemukakan oleh Menteri Ekonomi Malaysia telah menimbulkan persoalan. Pada bulan April 2024, Ketua Menteri Sabah telah menyangkal data Miskin Tegar yang di laporkan oleh Menteri Ekonomi Malaysia semasa Persidangan Dewan Rakyat, kerana ianya berbeza dengan data yang di perolehi oleh Kerajaan Sabah.
Beliau menyatakan data Menteri Ekonomi Malaysia adalah data terdahulu yang belum di kemaskini ketika itu. Beliau turut menjelaskan data sehingga 31 Mac 2024 yang di perolehi oleh Kerajaan Sabah sudah di perakui pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Pejabat Daerah dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ).
Namun begitu, kemunculan semula insiden Miskin Tegar di Sabah bukanlah sesuatu yang mustahil dan mengejutkan. Secara am-nya, insiden kemiskinan adalah dinamik dan relatif kepada keadaan semasa. Ianya boleh berubah-ubah turun-naik berdasarkan pelbagai faktor melibatkan situasi ekonomi dan isi rumah, antaranya: pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, kesihatan dan keupayaan Ketua Isi Rumah.
Oleh yang demikian, agenda pembasmian kemiskinan bukanlah terhad dan terhenti apabila matlamat sifar Miskin Tegar telah tercapai. Malah, agenda pembasmian Miskin Tegar sangat mencabar dan berterusan bagi memastikan isi rumah terbabit boleh keluar dari Miskin Tegar secara mampan untuk jangka masa panjang, dan selama-lamanya.
Bantuan langsung seperti bayaran tunai bulanan, zakat dan barangan makanan sudah pasti tidak dapat menjamin isi rumah terbabit boleh keluar dari Miskin Tegar untuk jangka masa panjang.
Sebaliknya, matlamat ini hanya boleh tercapai dengan meningkatkan peluang serta akses pendidikan dan kemahiran melibatkan isi rumah terbabit. Seumpama: Give a man a fish and you feed him for a day. Teach him how to fish and you feed him for a lifetime.
Semalam, di Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) Negeri Sabah di Kota Kinabalu, Menteri Ekonomi Malaysia memaklumkan bahawa antara fokus RMK-13 ialah pelaksanaan projek infrastruktur yang dapat menjana kegiatan ekonomi di daerah-daerah termiskin di seluruh negara, di mana 8 daerah termiskin adalah di Sabah.
Seterusnya, kegiatan ekonomi berkenaan dapat menyediakan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat setempat, terutamanya melibatkan isi rumah Miskin Tegar.
Polemik data Miskin Tegar di Sabah telah menimbulkan keraguan samada Sabah telah mencapai sifar Miskin Tegar. Tetapi, tanpa sebarang keraguan di mana-mana pihak, agenda pembasmian kemiskinan yang di laksanakan oleh Kerajaan Sabah telah berjaya menurunkan jumlah isi rumah Miskin Tegar secara mendadak.
Membina di atas kejayaan berkenaan, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan dana besar ber-billion Ringgit bagi agenda pembasmian kemiskinan dan peningkatkan kesejahteraan rakyat di bawah Belanjawan Sabah 2025. Antaranya:
- RM 358.5 juta: menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat, golongan miskin bakal menerima bantuan bulanan RM 300 selama satu tahun bagi mengurangkan kos sara hidup
- RM 250 juta: pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ)
- RM 729.79 juta: menambah-baik kapasiti dan kecekapan pengurusan bekalan air
Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera.