Membakut : Sebanyak 58 beg darah berjaya dikutip sempena program derma darah ambang Krismas Membakut yang bertujuan bagi membantu pesakit-pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital menjelang perayaan Krismas Rabu ini.
Pengarah Caritas Keningau merangkap penyelaras program Patricia Bai berkata, usaha membantu masyarakat melalui program berupa tanggungjawab sosial ini, merupakan aktiviti setiap tahun.
Katanya, program itu turut mendapat sambutan masyarakat setempat yang rata-ratanya penderma darah konsisten.
“Bahkan minggu cuti semasa perayaan saya difahamkan adalah minggu kritikal sekiranya ada permintaan terhadap darah disebabkan kes- kes kecemasan,” katanya.
Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu, menyasarkan bukan sahaja penganut agama Kristian yang mengadakan upacara sembahyang di dewan utama, malah turut menyasarkan para penderma darah dari pelbagai latar belakang masyarakat serta agama hadir menderma di Dewan Gereja St.Patrick Membakut di sini.
“Penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan penganjur yang turut sama membantu menjayakan program ini dan juga sumbangan individu,” katanya.
Dalam program yang sama, Pengerusi Love To The Moon Foundation Lee Mei Ling berkata, beliau amat berbangga dengan kerjasama pihak Caritas Paroki St.Patrick Membakut dan penduduk setempat yang hadir menderma darah.
Untuk rekod, Love To The Moon Foundation merupakan antara penerima Anugerah Penganjur Kempen Derma Darah Aktif 2024 sempena Majlis Apresiasi Sempena Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Sabah yang diadakan pada November lepas di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, dan juga persatuan yang aktif membantu program-program derma darah serta melibatkan Thalasemia dan kebajikan sekitar Daerah Kota Marudu, Kota Kinabalu dan Beaufort.
Mengulas tentang perancangan 2025 persatuan itu, Lee Mei Ling berkata, program kesukarelawan, program-program derma darah dan kebajikan akan diteruskan sambil bekerjasama dengan organisasi-organisasi yang berminat serta menggalakkan ahli persatuan dengan program kesukarelawan.
“Untuk tahun 2025, kami menyasarkan untuk mengadakan program serupa pada bulan April dan menjangkakan penambahan kaunter pameran untuk menarik lebih ramai pengunjung dan mendapat manfaat dari program yang diadakan” katanya.