Lahad Datu : Seramai 30 penduduk sekitar Kampung Tamoi Lama Batu, di sini disantuni dalam majlis santai sempena sambutan Hari Krismas.
Majlis yang dihadiri Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Mizma Appehdullah itu turut menyerahkan hamper kepada penduduk yang hadir.
Mizma berkata, setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan penting terutama dalam memelihara keamanan, kerukunan serta sentiasa mengamalkan semangat bersatu padu.
Katanya, budaya dan sifat yang berbaur kebencian dan cubaan untuk mengapi-apikan perbedaan mesti dibenam dengan sikap kasih sayang.
“Selamat Menyambut Hari Krismas kepada masyarakat beragama Kristian. Hari Krismas atau Hari Natal adalah hari besar buat penganut Kristian dan mereka meraikannya dengan keluarga dan sahabat setiap tahun.
“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajiban setiap kita untuk mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahmi antara rakyat dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka.
“Membenih dan menyemai budaya perpaduan tidak hanya terletak di bahu pemerintah, tetapi setiap rakyat mesti memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu,” katanya.
Beliau turut berharap agar sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah serta dapat membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada negara dan negeri Sabah yang terbilang dan rakyatnya yang cintakan keadilan. – SABAH MEDIA