Kota Kinabalu : Beberapa laluan dan tempat letak kereta sekitar bandaraya Kota Kinabalu akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada Sambutan Ambang Tahun Baharu Kerajaan Negeri Sabah.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, antara yang terlibat ialah Jalan Tun Fuad Stephens (berhadapan dengan Promenade dan Anjung Selera).
“DBKK akan melaksanakan penutupan sementara jalan dan tempat letak kereta di lokasi-lokasi yang terlibat untuk memberi laluan kepada Sambutan Ambang Merdeka Tahun Baharu Kerajaan Negeri bermula 28 Disember ini.
“Bagi Jalan Tun Fuad Stephens, laluan berkenaan akan ditutup separuh jalan bermula jam 9 malam pada 28 Disember sehingga 1 pagi pada 31 Disember 2024.
“Manakala bagi kawasan tempat letak kereta di Anjung Selera; Stesen Perhentian Zon Selatan; Jalan Tun Fuad Stephens hadapan Promenade dan sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens; Bulatan SEDCO hingga lampu isyarat Centre Point Sabah akan ditutup bermula 28 Disember bermula jam malam hingga 5 pagi pada 1 Januari 2025,” menurut kenyataan itu di sini.
DBKK berkata, Jalan Tun Fuad Stephens; Bulatan SEDCO hingga lampu isyarat Centre Point Sabah akan ditutup bagi acara sebenar bermula jam 1 pagi pada 31 Disember sehingga jam 5 pagi pada 1 Januari 2025.
Menurut DBKK lagi, penumpang bas zon selatan akan diturunkan dan diambil di perhentian bas Asia City berdepan bangunan Centre Point Sabah.
“DBKK menasihatkan orang ramai untuk mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas dan menggunakan jalan alternatif bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik,” tambah kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA