Kota Kinabalu : Sekumpulan pelajar dari Kelab Mahasiswa Program Hubungan Industri (INDREC), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyantuni penduduk Kampung Kuala Monsok, Tambunan menerusi penganjuran Program Peduli Kasih (PEKA) 2024 baru-baru ini.
Pengarah Program PEKA 2024, Nursuhailah Jamlan berkata, program tersebut antara lain bermatlamat untuk membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan dari segi pekerjaan dan usia, serta menerapkan nilai kasih sayang dan keprihatinan dalam diri siswa.
“Program ini bukan sekadar memberi bantuan, tetapi juga membawa sinar harapan kepada komuniti.
“Semangat kebersamaan antara siswa universiti dan penduduk Kampung Kuala Monsok membuktikan bahawa apabila kita bersatu hati, kita mampu mencipta perubahan yang bermakna demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Penasihat INDREC, Azizan Morshidi turut menyokong penuh penganjuran program sedemikian dan menekankan bahawa program tersebut selaras dengan aspirasi UMS sebagai universiti mesra komuniti.
“UMS sejak penubuhannya berusaha menggabungkan pembangunan ilmu dengan khidmat bakti kepada masyarakat.
“Justeru itu, program ini membantu siswa-siswi untuk memupuk empati, kesedaran sosial, serta semangat sukarelawan yang tinggi,” katanya.
Terdahulu, Ketua Kampung Kuala Monsok, Dinus Ubod, meluahkan rasa syukur atas inisiatif tersebut yang bukan sahaja menyumbang keperluan asas seperti barangan makanan dan keperluan harian, tetapi juga mengukuhkan hubungan antara siswa universiti dengan komuniti setempat.
Tambah beliau, program seperti itu adalah simbol keprihatinan golongan muda dan bukti bahawa pendidikan di UMS mendukung nilai kemanusiaan sejagat.
Program PEKA 2024 yang diadakan bersempena ulang tahun ke-30 penubuhan UMS mencerminkan komitmen universiti dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti, sekali gus mendukung visi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut prihatin terhadap masyarakat.