PAPAR: Sebanyak lapan pasukan akan berentap di peringkat akhir Festival Pertandingan Kompang peringkat Parlimen P.175 Papar yang dijadualkan berlangsung pada 1 Januari 2025, jam 7 malam di Dewan Datuk Salleh Sulong, Papar.
Acara tahunan yang dianjurkan oleh Pejabat Ahli Parlimen P.175 Papar dengan kerjasama Pejabat UPPM N.29 Pantai Manis ini dijangka menarik perhatian ramai, sama seperti edisi sebelumnya.
Menurut Pengerusi Penganjur merangkap Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawasan N.29 Pantai Manis, Rahman Latip, festival kali ini menyasarkan penyertaan 10 pasukan dari pelbagai kawasan di Papar.
“Bagaimanapun sebanyak lapan pasukan yang akan mara ke peringkat akhir. Seperti tahun-tahun sebelumnya, festival ini mendapat sambutan hangat, dengan lebih 1,000 pengunjung hadir untuk menyaksikan persembahan dan menyambut tahun baru,” ujar Rahman dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa edisi tahun ini bakal dirasmikan oleh Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar.
Menurutnya, festival ini bukan sahaja bertujuan memelihara budaya tradisi, tetapi juga menggalakkan penglibatan belia dan masyarakat setempat.
“Juara pertandingan akan menerima hadiah wang tunai RM1,000, sementara naib juara membawa pulang RM700 dan tempat ketiga RM500. Penyertaan adalah percuma,” tambahnya lagi.
Acara ini dijangka menjadi satu platform penting dalam memartabatkan seni kompang sebagai warisan budaya yang terus relevan di kalangan generasi muda.