Kota Kinabalu : Beberapa bahagian di Sabah diramal akan berlaku banjir susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) selama tiga hari bermula Sabtu ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak lima bahagian di Sabah diramal akan berlaku banjir.
Antara kawasan terlibat adalah di bahagian Pedalaman iaitu daerah Tambunan dan bahagian Pantai Barat yang melibatkan daerah Kota Belud, Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Putatan dan Tuaran.
Manakala bahagian Sandakan ia melibatkan daerah Beluran, Telupid dan Kinabatangan.
Turut diramal akan berlaku banjir adalah di bahagian Kudat yang melibatkan Kota Marudu, Kudat dan Pitas serta Tawau di daerah Lahad Datu.
Menurut JPS, ramalan banjir di Sabah dijangka berlarutan selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Disember 2024.
Tambah JPS, pihaknya akan terus melakukan pemantauan secara berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir jika hujan signifikan berterusan di lembangan-lembangan sungai berkenaan.
“Ramalan banjir tersebut boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh jangkaan. Oleh itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk di kawasan berisiko diminta berwaspada dan sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu di sini. – SABAH MEDIA