Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Pertubuhan Lima Generasi Malaysia cawangan negeri Sabah (PLG Sabah) hari ini menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap seorang individu berpengaruh media sosial, Fahmi Reza, atas dakwaan menghina dan mengganggu ketenteraman awam melalui beberapa hantaran media sosial.
Menurut Setiausaha PLG Sabah, Mohd Syarezan Abdul Samat, pihaknya membuat laporan polis selepas mendapati Fahmi Reza memuat naik beberapa gambar yang didakwa menghina Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman selepas pelantikan rasmi pada 17 Disember 2024.
“Kami dapati beberapa postingan yang dimuat naik jelas memperlekehkan dan tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Ia turut menyentuh isu 3R (race, religion, royalty) yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat,” katanya dalam satu sidang media selepas membuat laporan polis terhadap Fahmi Reza di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Sidang media yang dihadiri lebih 60 ahli PLG Sabah menyifatkan tindakan Fahmi Reza sebagai cubaan memecah-belahkan perpaduan rakyat negeri ini yang terkenal dengan keharmonian berbilang kaum.
“Kami dari PLG Sabah amat berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan Kerajaan Negeri Sabah bertindak segera terhadap individu ini,” tambahnya.
Dalam hantaran terbaru pada 24 Disember dan hari ini, Fahmi Reza turut hadir di Sabah dan memuat naik gambar yang didakwa cuba memprovokasi keputusan Yang di-Pertuan Agong dan menghina TYT Sabah.
Sehubungan dengan itu, PLG Sabah turut menggesa Kerajaan Negeri Sabah untuk menghalang Fahmi Reza daripada memasuki negeri ini.
“Dia membawa kekecohan dan cuba memecah perpaduan. Negeri Sabah adalah negeri harmoni yang harus dijaga.
“Negara kita ada undang-undang. Hormati prinsip Rukun Negara. Jangan cuba menyiram minyak di bara api. Sarang tebuan jangan dijolok, ikut hati mati, ikut rasa binasa,” tegas Mohd Syarezan.