Kota Kinabalu : Dua pensyarah daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), iaitu Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohd Sani Sarjadi dan Prof. Madya ChM. Dr. Moh Pak Yan menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam bidang kimia negara apabila dilantik sebagai Felo Institut Kimia Malaysia (IKM).
Penganugerahan pelantikan tersebut disampaikan dalam satu majlis berprestij, Malam Kimia 2024 – 53rd IKM Gala Dinner & Presentation of Awards di salah sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Penganugerahan tersebut disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Ts. Dr. Aminuddin Hassim yang mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Lantikan sebagai Felo IKM itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar kedua-dua pensyarah tersebut dalam bidang kimia, termasuk penglibatan aktif dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penerbitan jurnal, pembentangan di persidangan antarabangsa, serta usaha pemindahan ilmu kimia kepada masyarakat.
Menurut salah seorang penerima, Dr. Mohd Sani, ilmu kimia adalah satu cabang penting dalam bidang STEM yang perlu lebih disemarakkan bagi melahirkan cendekiawan berkaliber, sehingga karya inovasi dan reka cipta mereka mampu mencapai pengiktirafan peringkat tertinggi seperti Hadiah Nobel.
“Kesukaran mempelajari ilmu kimia harus dilupuskan dan digantikan dengan konsep ‘Kimia Is Awesome’.
“Pihak industri dan badan berwajib juga perlu memainkan peranan penting dalam mempromosikan ilmu ini serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang berorientasikan kimia,” tambah Dr. Mohd Sani.
Pemilihan kedua-dua pensyarah itu dilakukan secara teliti oleh panel juri yang diketuai oleh Pendaftar Bersama Majlis Eksekutif IKM yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Pihak IKM dalam satu kenyataan turut menekankan bahawa pencapaian tersebut membuktikan perkembangan pesat ilmu kimia di Borneo, sekali gus memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dan industri dalam memperkasa bidang kimia serta pembangunan modal insan berkualiti.
IKM turut berharap pencapaian tersebut akan memberi inspirasi kepada generasi muda dan komuniti saintifik untuk terus berinovasi serta menyumbang kepada kemajuan negara.