Kota Kinabalu : Beberapa laluan berhampiran Menara Kinabalu akan ditutup sebahagian sempena Karnival Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) pada 31 Disember ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, dua laluan terlibat dengan penutupan sementara itu adalah Jalan PPNS dan Jalan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Orang awam adalah dimaklumkan bahawa sebahagian Jalan PPNS dan Jalan Utama Dewan Undangan Negeri akan ditutup bermula pada jam 9 malam pada 30 Disember sehingga 11.59 malam 31 Disember 2024 untuk penganjuran Program Karnival UPPM.
“Laluan keluar dan masuk ke Menara Kinabalu akan dikawal oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), manakala laluan keluar dan masuk ke Menara Tun Mustapha (Bangunan Yayasan Sabah) dan Wisma Innoprise akan menggunakan laluan alternatif seperti peta di bawah,” menurut kenyataan itu di sini.
Tambah kenyataan itu lagi, orang awam dinasihatkan mematuhi arahan PDRM yang akan mengawal lalu lintas di lokasi tersebut.
Karnival yang diadakan pada 31 Disember itu akan bermula jam 10 pagi dengan pelbagai aktiviti akan diadakan.
Antaranya termasuklah jualan rahmah; kempen derma darah; pameran agensi; autoshow dan pelbagai aktiviti lain.
Turut diadakan pertandingan Autoshow Motorsikal. – SABAH MEDIA