Putatan : Penganjuran kejohanan pencak silat merupakan satu program yang cukup signifikan kepada pembangunan sukan silat olahraga.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ianya diadakan bukan sahaja untuk mencari juara tetapi juga bagi mencungkil bakat anak-anak muda dalam sukan silat olahraga.
Katanya, seni silat bukan sahaja digunakan sebagai satu seni untuk mempertahankan diri tetapi juga dijadikan sebagai satu aktiviti untuk meningkatkan jati diri terutamanya bagi anak muda.
“Saya berharap anak muda akan diberi pendedahan lebih lagi berkaitan sukan silat dan akan diperluaskan lagi agar warisan kita dapat terus terpelihara dalam era yang deras dengan arus pemodenan.
“Tujuan utama kejohanan ini diadakan adalah sebagai satu persiapan berterusan bagi daerah Putatan untuk mencungkil bakat-bakat muda, bakat-bakat baru dalam kejohanan silat olahraga selaras dengan sasaran kita Sabah sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2032 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan kejohanan pencak silat Piala Pendekar Putatan 2024 di Dewan PPR Sri Keramat di sini hari ini.
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan turut memuji penglibatan aktif komuniti Putatan dalam aktiviti silat, namun mengakui kekangan prasarana menjadi cabaran utama penganjuran acara sukan di daerah itu.
Dalam pada itu, Persatuan Seni Warisan Jati Diri (SEWARJAD) Sabah mempamerkan aksi cemerlang apabila memenangi empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam kejohanan itu.
Pasukan Elite Fighter dari Papar turut menunjukkan prestasi membanggakan dengan meraih Naib Johan menerusi kutipan empat pingat emas, satu perak dan empat gangsa.
Lebih 400 peserta dari daerah Putatan serta sekitar Sabah telah menyertai kejohanan berkenaan dan turut disertai sebuah pasukan dari Brunei Darussalam. – SABAH MEDIA