Kota Kinabalu : Pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 perlu dihormati selaras dengan Perlembagaan Negeri Sabah.
Persatuan Siswazah Sabah di Semenanjung (G3S) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu adalah mengikut lunas Perkara 1 (1) Perlembagaan Negeri Sabah yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Ketua Menteri.
Katanya, sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang sentiasa mendukung aspirasi kerajaan negeri Sabah dalam agenda pembangunan insaniah, mahasiswa Sabah berpendirian sentiasa cakna terhadap situasi semasa di Sabah.
“Pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 telah dipalit dengan beberapa siri reaksi negatif oleh segelintir pihak
“G3S berpendapat bahawa reaksi tersebut dilihat boleh menggugat keharmonian negeri Sabah. Hal ini dikatakan demikian kerana naratif yang cuba dibawa oleh segelintir pihak tersebut cuba mengelirukan masyarakat Sabah dan menyembunyikan fakta sebenar berkaitan pelantikan ini,” menurut kenyataan itu di sini.
Kenyataan itu turut berkata, Tun Musa telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada sebarang pertuduhuan rasuah.
Manakala, Agensi Pencegahan Rasuah Antarabangsa Hong Kong (ICAC) turut mendapati Tun Musa tidak melakukan. sebarang kesalahan.
“G3S menyeru agar setiap lapisan masyarakat menghormati pelantikan Tun Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu agar kestabilan dan keharmonian negeri dapat dipelihara agar agenda Sabah Maju Jaya dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya. – SABAH MEDIA