Kota Kinabalu : Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang dianjurkan sekumpulan mahasiswa pada Selasa ini di hadapan Menara Kinabalu di sini tidak mewakili Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyatan yang dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporat UMS di sini petang ini.
Dalam kenyataan itu, UMS memaklumkan perhimpunan itu juga tidak mewakili mana-mana entiti dalam UMS termasuk fakulti, akademi, pusat, institut serta warga universiti itu.
“UMS menasihatkan kumpulan mahasiswa yang menganjur perhimpunan ini agar sentiasa mematuhi keperluan undang-undang berkaitan termasuk arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi kesejahteraan serta keselamatan mahasiswa dan ketenteraman awam terpelihara.
“UMS menyediakan landasan dan saluran untuk mahasiswa membincangkan isu-isu semasa secara ilmiah dengan mengutamakan fakta serta wacana yang rasional dan beretika,” menurut kenyataan itu di sini.
Kenyataan itu turut berkata, sebarang idea dan cadangan ke arah kesejahteraan masyarakat perlulah disampaikan secara berhemah kerana mahasiswa merupakan golongan terpelajar yang mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat melalui tindakan matang yang berpandukan etika, peraturan dan undang-undang.
Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor turut menggesa agar pelajar lebih fokus kepada peperiksaan akhir yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Beliau turut menyeru agar para pelajar UMS tidak terlibat dalam perhimpunan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan keselamatan awam khususnya pelajar itu sendiri.
“Warga UMS juga sentiasa dinasihatkan agar menjunjung kesopanan dan kesusilaan terutamanya ketika berinteraksi sosial sesama manusia dengan cara menghormati orang lain, berkomunikasi secara berhemah, bertanggungjawab, bertoleransi dan bersangka baik,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO UMS