KOTA KINABALU: Lantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 01 Januari 2025 adalah lembaran baru yang wajar diterjemahkan dalam bentuk sistem “rotation” menyeluruh di kalangan penjawat awam.
Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Johan Jahid dalam kenyataan medianya hari ini berkata, sistem “rotation” akan membendung kewujudan ‘Little Napoleon’ dalam organisasi kerajaan.
“Tidak dinafikan sistem rotation telah berlaku di beberapa kementerian, namun penambahbaikan sebegini seharusnya dilakukan secara menyeluruh dan segera.
“Pengelibatan penjawat awam dalam salahlaku dan masalah integriti sering kali berlaku di kalangan mereka yang telah lama duduk di tempat yang sama, dan terlalu selesa dengan apa yang sedia ada.
“Kewujudan Little Napoleon ini bukanlah perkara baru kerana isu ini telah menjadi cabaran utama yang semakin membelenggu sejak sekian lama, bukan sahaja di peringkat Kerajaan Negeri tetapi Kerajaan Persekutuan.
“Maka, peralihan jawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah dari Tun Juhar Mahiruddin kepada Tun Musa Aman adalah perkembangan yang baik, dan wajar diterjemahkan di peringkat pentadbiran penjawat awam,” katanya.
Melalui pengamatannya melihat kesungguhan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk memperbaiki sistem pentadbiran negeri dan sekaligus memajukan negeri Sabah, Johan berpendapat perkara itu perlu mendapat sokongan semua pihak.
Sebaik manapun perancangan yang dilakukan oleh Ketua Menteri, Johan menegaskan kepincangan akan terus berlaku jika Little Napoleon masih berada dalam sistem pentadbiran kerajaan.
“Little Napoleon ini berpunca apabila wujudnya perasaan lebih hebat daripada orang lain dalam kalangan petugas agensi, kerana sudah berada terlalu lama dalam agensi tersebut.
“Tanpa sistem rotation, Little Napoleon akan menjadi penghalang kepada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan, manakala apa sahaja usaha yang dirancang akan menjadi sia-sia,” katanya.
Johan juga menambah, melalui sistem rotation ataupun pusingan kerja dalaman antara jabatan atau kementerian, penjawat awam akan belajar benda baharu dan sekaligus mempunyai gambaran jelas bagaimana dasar-dasar kerajaan dilaksanakan secara menyeluruh di semua peringkat.
“Sistem rotation juga akan memberikan peluang kepada penjawat baharu untuk berkembang tanpa unsur-unsur sekatan dari mereka yang sudah lama berkhidmat dan merasa lebih superior dalam agensi atau kementerian tersebut,” ujarnya.