KOTA KINABALU: Kira-kira 30,000 peserta, termasuk lebih 100 persatuan aktivis dari seluruh Sabah, dijangka menghadiri Perhimpunan Bangkit Sabahan yang akan diadakan esok (31 Dis) di Anjung Selera, Teluk Likas, pada jam 2 petang.
Penasihat Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan, Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata acara ini dianjurkan oleh golongan belia yang ingin menyuarakan isu-isu semasa.
Beliau juga menyatakan bahawa penganjuran perhimpunan terpaksa diawalkan akibat beberapa perhimpunan lain yang mendahului, namun ia tetap dijalankan dengan tujuan menyuarakan pandangan dan isu yang dekat di hati golongan belia.
“Tarikh perhimpunan telah diawalkan dan sepatutnya telah dirancang akan diadakan pada Januari tahun depan.
“Kami ini barisan penasihat kepada penganjur utama Perhimpunan Bangkit Sabahan yang telah amanahkan kepada kami untuk menyampaikan sedikit maklumat kepada orang ramai yang akan hadir esok.
“Penganjuran himpunan ini sebenarnya telah dicadangkan lebih awal oleh anak-anak muda sebelum Perhimpunan Gempur Rasuah ini,” kata Zulkarnain pada sidang media di sini, hari ini.
Zulkarnain yang juga Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menasihatkan peserta agar menjaga disiplin dan mengawal emosi sepanjang perhimpunan bagi memastikan kelancaran acara.
“Semua peserta dinasihatkan untuk mematuhi peraturan, menjaga keamanan, dan menghormati ruang awam sepanjang perhimpunan,” tegasnya.
Beliau turut memberi amaran mengenai kemungkinan provokasi daripada pihak tertentu, termasuk aktivis Fahmi Reza yang dilaporkan telah berada di negeri ini sejak 22 Disember lalu.
Justeru, beliau menegaskan agar peserta tidak terpengaruh dengan provokasi yang boleh mencetuskan kekacauan.
Selepas perhimpunan, Zulkarnain menggalakkan peserta untuk melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan pantai sebagai simbol tanggungjawab sosial.