Oleh: Wan Azrain Adnan
Pada awal Disember 2024, Dana Kekayaan Berdaulat (Sovereign Wealth Fund, SWF) milik Norway mencipta sejarah dengan mencapai nilai 20 trilion Crowns (USD 1.8 trilion), bersamaan kira-kira RM 8.01 trilion. Pencapaian ini menempatkan SWF-Norway sebagai dana kekayaan berdaulat terbesar di dunia.
Peningkatan Luar Biasa dalam Lima Tahun
Dalam tempoh lima tahun sahaja, nilai SWF-Norway meningkat dua kali ganda. SWF ini kini memiliki hampir 1.5% saham daripada keseluruhan syarikat tersenarai di dunia, melibatkan lebih 9,000 syarikat di 70 negara.
Sejarah dan Asas Penubuhan SWF-Norway
Pada penghujung 1960-an, Norway menemui salah satu medan minyak terbesar dunia. Penemuan ini memacu pertumbuhan ekonomi negara tersebut. Pada tahun 1990, Norway menubuhkan SWF untuk melabur hasil pendapatan daripada industri minyak dan gas (O&G).
Tujuan utama penubuhan SWF-Norway adalah memastikan hasil minyak dan gas digunakan secara bertanggungjawab melalui pelaburan mampan untuk simpanan jangka panjang. Strategi ini bertujuan melindungi masa depan ekonomi Norway dan kesejahteraan rakyatnya.
Dengan populasi hanya 5.6 juta, nilai SWF-Norway bersamaan dengan RM 1.43 juta bagi setiap rakyatnya. Kejayaan ini turut menyumbang kepada status Norway sebagai negara ke-7 paling bahagia di dunia, menurut World Happiness Report 2024 oleh University of Oxford.
Perbandingan dengan Malaysia
Sebagai perbandingan, dana kekayaan Malaysia, Khazanah Nasional, hanya memiliki Realisable Asset Value (RAV) sebanyak RM 126.2 bilion pada akhir 2023 – tidak sampai 2% daripada nilai SWF-Norway. Organisasi utama Malaysia seperti KWSP (RM 1.22 trilion), PNB (RM 341.6 bilion), dan Bank Negara Malaysia (RM 527.6 bilion) juga jauh lebih kecil daripada SWF-Norway.
Cabaran Malaysia dalam Pengurusan Hasil Minyak dan Gas
Sumber minyak dan gas Malaysia, terutama di Semenanjung, semakin berkurangan. Dalam tempoh 10 tahun, pengeluaran minyak menyusut daripada 700,000 tong sehari kepada 350,000 tong sehari. Bahkan, Semenanjung kini mengimport 30% gas untuk menjana elektrik.
Hasil minyak dan gas telah lama menjadi penyumbang utama kewangan negara, tetapi trend menurun kini jelas:
Tahun | Hasil Berkaitan Petroleum (RM bilion) | Peratusan Daripada Pendapatan Negara |
---|---|---|
2019 | 81.2 | 23.8% |
2020 | 50.5 | 15.1% |
2023 | 69.8 | 20.6% |
2024 | 61.8 | 18.4% |
2025 | 62.0 | 18.3% |
Kebergantungan kepada hasil minyak dan gas yang semakin berkurangan ini menuntut usaha mencari sumber pendapatan alternatif untuk mengelak ketidaktentuan kewangan dan defisit fiskal yang lebih besar.
Inspirasi daripada SWF-Norway
Norway telah membuktikan bahawa hasil minyak dan gas boleh diuruskan secara bijak untuk jangka panjang. Malaysia mempunyai sejarah menubuhkan dana serupa, seperti Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2009, yang kemudian dijenamakan semula menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Namun, skandal besar yang melibatkan 1MDB menjejaskan kepercayaan terhadap model ini.
Sebaliknya, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Sarawak Sovereign Wealth Future Fund pada Januari 2024. Dengan dana permulaan sebanyak RM 8 bilion, SWF-Sarawak diilhamkan daripada model SWF-Norway. Premier Sarawak menyatakan dana ini tidak akan digunakan selama 20 tahun kecuali untuk situasi krisis, memastikan nilai dana berpotensi berkembang berkali ganda.
Masa Depan Pengurusan Hasil Sumber Alam Malaysia
Kerajaan negeri seperti Sabah, Terengganu, dan Kelantan disarankan untuk mempertimbangkan penubuhan SWF bagi melaburkan hasil minyak dan gas secara mampan. Pengurusan bijak hasil minyak dan gas adalah kritikal bagi menjamin kesejahteraan rakyat pada masa depan.
Seperti kata peribahasa, “Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.” Pelaburan jangka panjang, walaupun bermula kecil, adalah langkah penting sebelum sumber minyak dan gas kehabisan sepenuhnya.
Dengan pengurusan yang telus dan strategi pelaburan yang berhemah, Malaysia boleh mencontohi Norway dalam memastikan hasil minyak dan gas memberi manfaat berkekalan untuk generasi akan datang.